DE Galeri Ratu (M) Sdn Bhd mempelbagaikan lagi koleksinya apabila menjalin usaha sama dengan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail bagi memberi peluang kepada penggemar memiliki koleksi khas dengan harga hanya dari RM300 hingga RM350 sepasang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohammad Yatim berkata, kerjasama itu diwujudkan sempena ulang tahun ke-4 Ratu, sekali gus menyasarkan 1,000 pasang baju bagi setiap koleksi akan terjual sepanjang enam hari jualan khas koleksi Ratu oleh Ezuwan Ismail.
Katanya, bagi fasa pertama jualan yang akan diadakan pada 30 November hingga 2 Disember ini, sebanyak empat rekaan Ezuwan Ismail ditawarkan dengan empat warna dan lima saiz pilihan.
“Untuk fasa kedua pula, empat lagi rekaan akan ditampilkan pada jualan khas 21 hingga 23 Disember ini. Kami yakin koleksi yang memang direka khusus untuk Muslimah ini akan memenuhi setiap gaya yang diinginkan kerana selain sesuai dikenakan pada acara besar, ia juga boleh dipakai ke pejabat.
“Ini platform terbaik kepada Butik Ratu menembusi pasaran busana selain terus fokus pada koleksi tudung dan meluaskan pasaran di seluruh negara,†katanya selepas majlis menandatangani perjanjian dengan Ezuwan Ismail di Kuala Lumpur. Menurutnya, 15 lokasi terpilih di seluruh negara akan terbabit dalam jualan koleksi Ratu oleh Ezuwan Ismail iaitu di seluruh cawangan Butik Ratu Setapak, Bangi, Semua House, Ukay Boulevard, Shah Alam, Klang, Alor Setar dan Kota Bharu serta Hotel Royale Bintang Seremban, Hotel Holiday Inn Melaka, Hotel Grand Paragon Johor Bahru, Hotel Impiana Ipoh, Hotel Zenith Kuantan dan jualan secara online.
Nik Mohammad berkata, setakat ini, pihaknya mempunyai dua cawangan Butik Ratu di luar Lembah Klang iaitu di Alor Setar dan Kota Bharu untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap produk Ratu, pihaknya turut merancang membuka butik di beberapa negeri.
“Tahun depan kami akan fokus pada pembukaan cawangan di seluruh negara iaitu di Kuantan, Johor dan Melaka serta memperkenalkan beberapa konsep perniagaan lain supaya pelanggan dan ahli Ratu yang kini melebihi 15,000 orang dapat mencari koleksi idaman mereka,†katanya.