in , ,

Kolaborasi OMAR & HANA Bersama Mufti Menk Cecah 1.3 Juta Tontonan di Youtube

Kolaborasi antara siri animasi Islamik popular ‘Omar & Hana’ bersama Tokoh Agama Antarabangsa, Ismail ibn Tata Menk atau lebih mesra dikenali sebagai Mufti Menk mencecah lebih 1.3 juta tontonan melalui saluran YouTube rasmi Omar & Hana versi bahasa Inggeris.

Siri pendek 5 episod berdurasi 2-4 minit itu dihasilkan dengan tujuan menggalakkan kanak-kanak untuk mengenali serta mencintai Rasulullah SAW melalui penceritaan dan animasi yang menarik.

Dalam siri istimewa bersama pendakwah antarabangsa itu, Mufti Menk ‘menyertai’ dunia animasi Omar & Hana dalam watak 3D-nya sendiri. Menyentuh topik-topik seperti sejarah keluarga Rasulullah SAW, keistimewaan kelahiran Baginda, serta cinta Baginda terhadap binatang, episod ke-5 yakni terakhir kolaborasi ini bakal dilancarkan pada Sabtu, 19 Disember 2020 ini, pada jam 7 malam, di saluran YouTube rasmi Omar & Hana (versi bahasa Inggeris).

Kolaborasi OMAR & HANA Bersama Mufti Menk Cecah 1.3 Juta Tontonan di Youtube

Kolaborasi bersama Mufi Menk ini merupakan salah satu strategi antarabangsa syarikat Digital Durian untuk  menjangkau kanak-kanak beragama Islam di seluruh dunia menerusi platform TV mahupun digital.

Sejak dilancarkan tahun 2017 lalu, saluran YouTube Omar & Hana versi bahasa Melayu dilanggani lebih 4 juta peminat dan merekodkan 1.8 bilion tontonan, manakala saluran versi bahasa Inggeris pula mencatatkan hampir 600 ribu langganan dan 230 juta jumlah tontonan.

Kolaborasi OMAR & HANA Bersama Mufti Menk Cecah 1.3 Juta Tontonan di Youtube

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian, Sinan Ismail berkata, “Alhamdulillah, kerjasama kami dengan Mufti Menk, seorang pendakwah yang cukup terkenal di peringkat antarabangsa, dapat membantu jenama Omar & Hana untuk menjangkau lebih ramai kanak-kanak beragama Islam di seluruh dunia. Di Digital Durian, kami beraspirasi untuk menyajikan kandungan yang bersesuaian buat semua lapisan masyarakat agar masing-masing mmendapat manfaat sepenuhnya daripada mesej dan pengajaran yang disampaikan oleh siri animasi Omar & Hana ini.”

Penerbit ‘Omar & Hana’, Fadilah A. Rahman berharap anak-anak dan ibu bapa dapat menikmati episod-episod istimewa bersama Mufti Menk ini dan menggalakkan semua yang menonton untuk memberi maklum balas agar pihak produksi boleh sentiasa menghasilkan sajian kandungan yang terbaik untuk santapan audiens. Fadilah berkata, “Kolaborasi kami bersama Mufti Menk diumpamakan sebagai satu impian yang telah menjadi kenyataan. Dengan pencapaian ini, kami lebih yakin dengan hasil produksi kami dan akan sentiasa memperkasakan usaha untuk menghasilkan lebih banyak lagi kandungan yang bermutu tinggi.”

Kolaborasi OMAR & HANA Bersama Mufti Menk Cecah 1.3 Juta Tontonan di Youtube
Mufti Menk

Tokoh Islam Antarabangsa, Mufti Menk berkata, “Omar & Hana merupakan sebuah siri animasi ‘edutainment’ yang penuh bermakna dan sarat dengan nilai murni. Dari peringkat awal lagi, kita harus menggalas tanggungjawab untuk menggalakkan anak-anak kita untuk menonton kandungan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi dapat mendidik generasi baharu ini dengan lebih baik.”

Untuk maklumat lanjut mengenai Omar & Hana, layari www.omarhana.com. Siri animasi Omar & Hana bersiaran di Astro Ceria setiap Jumaat, jam 11 pagi. Kesemua episod Omar & Hana boleh distrim secara eksklusif bagi pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama KL GANGSTER : UNDERWORLD Kembali di Musim 2 dengan Siaran di WeTV

Hikmah Covid-19, Animasi ROBOZETA Dilamar Stesen Televisyen Antarabangsa