in , ,

Kolaborasi IDEAL Healthcare & Care Concierge Tawar Solusi Holistik

Kolaborasi IDEAL Healthcare dan Care Concierge Tawar Solusi Holistik Tangani Cabaran Penjagaan Warga Emas Menjelang Tahun 2030

Malaysia kini semakin hampir menjadi negara tua, di mana lebih 15 peratus penduduk dijangka berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030. Menyedari realiti ini, IDEAL Healthcare dan Care Concierge telah mengambil langkah proaktif dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Sabtu, 12 April 2025, bagi menangani cabaran besar dalam sistem penjagaan warga emas di Malaysia.

Majlis menandatangani MoU ini berlangsung meriah semasa Majlis Rumah Terbuka Raya IDEAL di cawangan utamanya di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Acara ini turut mencerminkan semangat kerjasama yang tinggi antara kedua-dua organisasi dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik untuk golongan emas yang memerlukan perhatian khusus.

Kolaborasi IDEAL Healthcare dan Care Concierge Tawar Solusi Holistik Tangani Cabaran Penjagaan Warga Emas Menjelang Tahun 2030

Gabungan Kepakaran Perubatan dan Penjagaan Profesional

Pengasas IDEAL, Dr. Faizi Rosli, menyifatkan kerjasama ini sangat tepat pada waktunya memandangkan cabaran sistem penjagaan semasa yang tidak teratur. “Dalam keadaan sekarang, ramai keluarga menghadapi kesukaran dalam menguruskan temu janji perubatan, keperluan fisioterapi, serta penjagaan kejururawatan kerana biasanya dikendalikan oleh pelbagai pihak berbeza,” katanya.

Tambah Dr. Faizi, rawatan pemulihan warga emas bukan sekadar soal klinikal tetapi melibatkan penjagaan harian serta sokongan berterusan yang perlu diselaraskan dengan baik. “Biasanya pihak keluarga terpaksa menguruskan sendiri perkara ini yang akhirnya memberi tekanan tambahan dari segi emosi dan kewangan. Dengan adanya kerjasama antara IDEAL dan Care Concierge, ia mampu menyediakan laluan penjagaan yang lebih mudah, lengkap dan tersusun,” ujar beliau lagi.

Kolaborasi IDEAL Healthcare dan Care Concierge Tawar Solusi Holistik Tangani Cabaran Penjagaan Warga Emas Menjelang Tahun 2030

Komitmen Terhadap Kualiti Hidup dan Penjagaan Berkualiti

Menurut Ketua Pengarah Care Concierge, Justin Yap, kerjasama ini melangkaui batas perniagaan semata-mata dan dilihat sebagai satu keperluan untuk membina sistem penjagaan yang lebih efisien dan efektif. Beliau menjelaskan, “Pasukan jururawat kami akan sentiasa memantau keperluan harian pesakit, manakala IDEAL memastikan proses pemulihan pesakit berjalan lancar melalui pelan rawatan yang holistik.”

Beliau turut menambah bahawa model penjagaan bersepadu ini bukan sahaja mempercepatkan pemulihan dan mengurangkan kadar kemasukan semula ke hospital, tetapi juga dapat membantu para penjaga keluarga yang sebelum ini terpaksa mengorbankan kerjaya demi menjaga ibu bapa mereka sepenuh masa.

“Kita bercakap tentang kualiti hidup warga emas. Setiap individu berhak menjalani usia tua dengan penjagaan, keselesaan dan kebebasan berdikari. Kerjasama ini mengintegrasikan semua elemen penting dari aspek klinikal hingga sokongan keluarga dalam satu ekosistem yang lengkap,” tegas Justin.

Inisiatif Amal Bersempena Majlis MoU

Selain kerjasama strategik ini, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan sumbangan amal daripada IDEAL Healthcare kepada Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM). Dana sumbangan ini diperoleh daripada hasil Program Penjagaan Kanser IDEAL, yang mana 5% hasil jualan disalurkan bagi menyokong usaha melawan kanser di negara ini.

“Kami percaya tanggungjawab sosial perlu seiring dengan inovasi dalam penjagaan kesihatan. Sumbangan kepada NCSM adalah bukti komitmen kami ke arah masa depan lebih sihat untuk rakyat Malaysia,” kata Dr. Faizi dengan penuh harapan.

Kolaborasi IDEAL Healthcare dan Care Concierge Tawar Solusi Holistik Tangani Cabaran Penjagaan Warga Emas Menjelang Tahun 2030

Mengenai IDEAL Healthcare dan Care Concierge

IDEAL Healthcare dikenali sebagai pusat penjagaan kesihatan terkemuka yang menawarkan perkhidmatan pemulihan berasaskan perubatan dan fisioterapi. Ia terdiri daripada dua entiti utama, iaitu IDEAL Health Centre dan IDEAL Rehab Lab, kedua-duanya menyediakan penjagaan kesihatan menyeluruh serta pemulihan fizikal berteknologi tinggi.

Sementara itu, Care Concierge pula merupakan pakar dalam industri penjagaan warga emas, menawarkan perkhidmatan menyeluruh termasuk penjagaan berbantu, penjagaan harian serta kursus khas melalui akademi mereka. Dengan lebih 2,500 kakitangan profesional di seluruh negara, Care Concierge berperanan penting dalam memastikan setiap warga emas mendapat penjagaan terbaik dan menyeluruh.

Apa Kata Budiey?

Melihat usaha kolaborasi ini, Budiey amat menyokong penuh pendekatan bersepadu antara IDEAL Healthcare dan Care Concierge. Ia bukan sahaja mampu menyelesaikan pelbagai cabaran penjagaan warga emas di Malaysia tetapi juga menjadi model rujukan penjagaan warga emas secara holistik yang boleh diaplikasikan secara meluas. Idea seperti ini patut diterapkan lebih awal untuk menjamin warga emas di negara ini menikmati usia emas mereka dengan lebih berkualiti dan sejahtera.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Blood Brothers: Bara Naga Cipta Sejarah! 2 Hari Berjaya Kutip 9.2 Juta