Maka tidak hairan jika dikatakan, ramai penyanyi berlumba-lumba dan mulai mengintai untuk mendapatkan khidmat mereka sebagai komposer atau berkolaborasi bersama.
Kejayaan lagu 7 Nasihat nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza membuktikan Kmy Kmo dan Luca Sickta tidak boleh dipandang sebelah mata. Malah, lagu sebelumnya, Zuhud kolaborasi bersama Dato’ M Nasir juga mewujudkan magis tersendiri.
Tidak terhenti setakat itu, sentuhan kedua mereka bakal mencetuskan fenomena terbaharu dalam industri muzik tempatan menerusi lagu NERACA yang bakal dilancarkan pada 19 Februari ini.
Menariknya, Kmy Kmo dan Luca Sickta sekali lagi menampilkan penyanyi legenda bergelar Dato’ sebagai rakan duet mereka iaitu Dato’ Jamal Abdillah.
Bagi Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin berkata, dari awal lagi mereka sudah membayangkan Dato’ Jamal Abdillah bagi menyanyikan lagu itu.
“Ketika Kmy buat rakaman demo lagu ini dia menyanyi ala suara Dato’ Jamal. Malah, dari awal lagi memang sudah pasang niat alangkah menarik jika Dato’ Jamal dapat menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah, rezeki kami dan Dato’ Jamal bersetuju.
“Awalnya, muzik lain. Tapi, selepas Dato’ Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal. Kami berasakan muzik tradisional ini tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi moden. Kalau peminat lama mendengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini.
“Sepanjang proses rakaman, Dato’ Jamal sangat mengalu-alukan kami. Kami menjangkakan dia seorang legenda yang ‘diva’, tapi dengan kami dia okay. Tidak ada langsung rasa kekok, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. Sikap yang ditunjukkan itu tidak membuatkan kami rasa takut dan segan,” katanya.
Mengenai pemilihan penyanyi bertaraf legenda dan Dato’ yang bekerjasama dengan jenama Kmy Kmo dan Luca Sickta, Luca berkata, itu adalah ‘wish list’ dan cita-cita mereka sejak di awal pembabitan dalam bidang penulisan dan penciptaan lagu lagi.
“Kami sudah menunggu lama peluang sebegini. Kami dari zaman sekolah lagi sudah menghasilkan muzik. Sejak itu kami bercita-cita nak bekerjasama dengan penyanyi legenda. Diakui kami memang ada senarai nama penyanyi-penyanyi itu.
“Bukan nak bekerjasama dengan penyanyi legenda yang bergelar Dato’ saja, tapi ia lebih kepada ingin merealisasikan impian. Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda. Setakat ini kami sudah selesai dengan genre yang diwakili setiap legenda itu. Tinggal lagi genre rock pula.
“Insya Allah, selepas itu baru kami ke senarai penyanyi ‘A list’ pula. Kami sudah ada lagu dan senarai nama penyanyi. Dalam masa sama, kami juga akan buat projek bersama penyanyi baharu yang mempunyai bakat dan vokal bagus,” katanya.
Masih mengekalkan genre hip hop dengan gabungan muzik ghazal dan reggae, lagu NERACA sudah dihasilkan sejak 2018 lagi.
Menurut Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, lagu NERACA diperam selama dua tahun dan menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.
“Melodi lagu NERACA ini sudah siap sejak 2018 lagi. Selepas itu kami simpan sebab tunggu masa sesuai untuk disiap dan dilancarkan. Alhamdulillah, pertengahan tahun lalu, kebetulan Datuk Jamal ada kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia.
“Dari situ kami ambil peluang menawarkan lagu NERACA ini kepada Dato’ Jamal. Selepas bentang dan perdengarkan melodi lagu ini, dia terus kata okay dan bersetuju. Jadi, proses rakaman dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ambil masa tidak sampai sejam.
“Ketika proses rakaman, dia tanya boleh tidak jika mahu buat impovisasi pada nyanyian. Mendengarkan pertanyaan itu, kami sebenarnya lebih suka. Jadi, dia buat adlib dan lenggok tersendiri. Sekali dengar lagu ini pun sudah tahu itu suara Dato’ Jamal. Cara itu mengingatkan kami kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza ketika rakaman 7 Nasihat yang mana turut bertanya perkara sama,” katanya.
Berkongsi mengenai lagu itu, NERACA boleh dikatakan kesinambungan daripada lagu Zuhud yang dilancarkan pada Disember 2019.
“Bagi kami, lagu NERACA ini adalah kesinambungan mesej lagu Zuhud. Jadi dalam lagu ini ia merangkumi keseluruhan dan seimbangkan mengenai kehidupan yang berlaku sekarang. Apatah lagi dalam zaman media sosial, gejala sosial semakin menjadi-jadi.
“Faktor terbuka dijadikan alasan untuk buat masalah. Disebabkan itu, dalam lirik lagu ini kami menyenyuh soal Ketuhanan. Malah, dalam video muzik pula mengenai manusia yang terikat dan suka leka dengan apa yang ada di atas muka bumi.
“Cuma apa boleh dikatakan, muzik lagu ini berat dari Zuhud. Apa pun ikut selera pendengar juga. Mungkin ada yang suka dan sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Jamal Abdillah menyifatkan kerjasama dengan Kmy dan Luca dalam lagu NERACA adalah satu pengalaman baharu selain menyifatkan kedua mereka sangat berbakat.
“Proses rakaman sangat santai, mudah dan tidak terlalu sukar. Kerja dengan anak muda memang seronok dan mereka berdua sangat berbakat.
“Begitu juga ketika proses penggambaran video muzik, ia penuh erti yang tersurat yang perlu dihayati. Mesej yang ingin disampaikan agak kuat. Ia berkisar mengenai perjalanan manusia dalam menempuh peredaran masa sebagai manusia biasa. Banyak mesej bagus dan ditampilkan dengan keunikan yang lain daripada lain. Ia sekaligus membuatkan lagu ini sesuatu yang sangat bererti buat saya sebagai penyanyi era lama dalam penghasilan video muzik.
“Jadi, harapan saya untuk lagu ini sangat tinggi dan semoga ia diterima oleh pendengar muzik terkini, terdahulu dan ketika zaman saya. Ini kerana lagu ini menggabungkan kedua generasi. Melodi dan muzik lagu ini agak unik termasuklah rap yang disampaikan sangat bermakna dan kena hayati,” katanya.
Lagu NERACA akan dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula 19 Februari ini. Pada hari yang sama, turut ditayangkan video muzik rasmi lagu NERACA di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada jam 9 MALAM.