PROGRAM MENARIK MUZIK AKTIF : SEPANJANG RAMADAN INI
Satu-satunya saluran televisyen milik Radio televisyen Malaysia (RTM) yang menyiarkan variasi klip-klip video muzik pelbagai genre, Muzik Aktif di Saluran Astro 180 sepanjang bulan Ramadhan ini tidak ketinggalan untuk turut menjanjikan program-program menarik memenuhi jadual siarannya.
Semakin mendapat tempat di hati penonton tanpa mengira peringkat umur kini, Saluran Muzik Aktif bakal menghiburkan anda sekeluarga dengan pelbagai program menarik seperti Konsert Bulan Ramadan, Slot Khas Ramadan bertema Irama Puitis dan Zoom In Ramadan yang pastinya mampu mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini dengan rangkaian klip-klip video daripada artis-artis nasyid terkenal tanah air.
Muzik Aktif mengisi slot Konsert Bulan Ramadan dengan menyiarkan Konsert Nur Istana Budaya pada 15 Ogos 2010, jam 2.00 petang yang bertemakan ketuhanan dengan menampilkan lagu-lagu nasyid yang dipersembahkan oleh penyanyi popular tanah air antaranya Raihan, Ramli Sarip, Brothers dan Ruhil.
Kemudiannya diikuti Festival Nasyid Kebangsaan (22 Ogos 2010, jam 2.00 petang) pertandingan nyanyian antara kumpulan nasyid tanah air ini bertujuan memartabatkan industri nasyid tempatan. Kumpulan Citra, Nibrash dan Knami merupakan antara yang bertanding dalam festival tersebut manakala artis jemputan Kumpulan Far East dan Mestica. Konsert ini menampilkan pengacara Siti Rohani Surani, Suffian Saujana dan Suraya Mohamad.
Sempena bulan Ramadan ini juga, slot Irama Puitis di Saluran Muzik Aktif yang disiarkan setiap hari sepanjang bulan puasa, jam 5.05 – 5.35 petang menayangkan pakej program berunsur ketuhanan yang menampilkan lagu-lagu Nasyid, Puisi dan klip video berunsur kerohanian. Slot ini mengetengahkan tajuk Irama Insan, Nada Puitis, Wisata Puisi dan Nasyid TV secara berepisod.
Irama Insan yang menyiarkan pakej klip video berunsur kerohanian yang menampilkan artis-artis popular setiap hari Isnin dan Selasa, jam 5.05 petang pada 16 Ogos 2010 (Aris Ariwatan, Candy, Farhan dan Juliza Adlizan), 17 Ogos 2010 (Liza Aziz, Fazli Zainal, Bob dan Kumpulan Factunes), 23 Ogos 2010 (Candy, Farith Taib, Dina dan Nurfatima), 24 Ogos 2010 (Hazami, Ernie, Eis dan Farith Taib), 30 Ogos 2010 (Aris Ariwatan, Farhan, Musim Voices dan Liza Aziz), 31 Ogos 2010 (Eis, Liza Aziz, Fazli Zainal dan Ernie).
Nada Puitis pula yang menemui penonton setiap Rabu, jam 5.05 hingga 5.35 petang, sebuah rancangan temubual dengan tokoh seni berbentuk muzikal di mana puisi-puisi digubah dan disampaikan oleh artis-artis jemputan. Dihoskan oleh Raja Nur Qhatrunisa, tokoh dijemput pada 11 Ogos 2010 adalah Dato’ Dr. Kemala dan artis jemputan Mardiana, Visvanathan dan Daksinar. 18 Ogos 2010 pula menampilkan tokoh Suntung Umar RS dan artis jemputan Ameer Sofaz, Tan Yen Ming dan Muhaizam. Manakala pada 25 Ogos 2010 tokoh S. Zaleha Hashim dan artis jemputan Amin dan Kelvin dijemput memeriahkan program.
Kemudiannya diteruskan dengan slot bertajuk Wisata Puisi menampilkan lagu-lagu puisi yang dipersembahkan oleh artis-artis popular tempatan. Dihoskan oleh Farah Alya, program disiarkan setiap Khamis, jam 5.05 hingga 5.35 petang dimana episod pertamanya pada 12 Ogos 2010 menampilkan artis jemputan Kopratasa, pada 19 Ogos 2010 (artis Zalee Redang), pada 26 Ogos 2010 (artis Akhbar Azmi) dan pada 2 September 2010 (artis Suhaimi Meor Hassan).
Nasyid TV pula program hiburan yang memberi peluang kepada para peminat untuk mengenali penyanyi nasyid pujaan mereka secara lebih dekat. Disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 5.05 hingga 5.35 petang, semua artis undangan ditemubual secara eksklusif oleh peminat jemputan mengenai kerjaya seninya disamping menayangkan klip video artis terpilih yang dihoskan oleh anggota Saujana, Suffian Amrin. Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan 12 episod siarannya bermula pada 13 Ogos 2010 dengan artis jemputan Nazrey Johani, Far East (14 Ogos 2010), UNIC (15 Ogos 2010), Inteam (20 Ogos 2010), Haikal (21 Ogos 2010), Hafiz Hamidun (22 Ogos 2010), Devotees (27 Ogos 2010), Rabbani ( 28 Ogos 2010), Now Seeheart (29 Ogos 2010), Amar (3 September 2010), Shuhaimi & Ina Naim (4 September 2010) dan Complilation (5 September 2010).
Dua kumpulan popular nasyid yang disegani juga bakal muncul menerusi slot Zoom In Ramadan yang mengetengahkan hiburan berbentuk muzikal ini menampilkan persembahan lagu-lagu dakwah sempena bulan Ramadan. Bakal bersiaran setiap Sabtu, jam 2.00 petang, Zoom In Raihan menemui penonton pada 14 Ogos 2010 manakala Zoom In Hijjaz pula disiarkan pada 21 Ogos 2010 Rancangan muzikal ini menampilkan persembahan bertenaga daripada kumpulan nasyid ini sempena bulan puasa dalam menghayati dendangan lagu-lagu popular mereka yang berunsur kerohanian dan ketuhanan.