Tahniah buat filem KL Gangster yang telah berjaya mencapai kutipan sebanyak RM5juta dalam masa 3 hari. Ini bermakna, satu pencapaian yang harus dibanggakan. Budiey rasa, filem ini pasti akan berjaya mencapai kutipan RM10 juta. Tak percaya korang tengok la ya.
PETALING JAYA: Filem arahan Syamsul Yusof, KL Gangster, berjaya mendapat kutipan sebanyak RM5 juta dalam masa tiga hari.
Kutipan tersebut dikira bermula pada tarikh tayangannya iaitu 9 Jun hingga 11 Jun lalu. Menurut Syamsul, dia bersyukur dengan pencapaian yang luar biasa itu dan bangga kerana mampu mencapai jumlah kutipan tiket yang sama seperti filem-filem Hollywood yang sedang rancak ditayangkan.
“Ini satu perkara yang luar biasa bagi saya dan saya menganggap ia menjadi sebuah fenomena baru apabila filem-filem Melayu kita mula diberi perhatian oleh masyarakat.
“Maklumlah, dulu agak sukar untuk para penonton mempercayai karya-karya filem Melayu yang dihasilkan. Saya percaya, jika kena dengan caranya, sesebuah filem itu pasti boleh berjaya,” katanya yang dihubungi mStar Online.
Tambah Syamsul, dia berharap agar KL Gangster mampu mencapai kutipan yang lebih daripada filemnya sebelum ini, Khurafat yang telah meraih kutipan sebanyak RM8.08 juta.
“Kalau boleh saya mahu mencipta satu rekod baru dalam industri perfileman tempatan. Apa-apa pun, yang penting, saya mahu penonton-penonton yang hadir berpuas hati dan berbaloi mengeluarkan wang sebanyak RM10 seorang menyaksikan KL Gangster,” tuturnya.
Bagaimanapun, Syamsul berkata, dia sebenarnya kurang gemar apabila membicarakan perihal jumlah kutipan filem-filemnya kepada umum kerana itu bukanlah satu perkara penting dalam penghasilan sesebuah filem.
“Terus-terang, saya kurang selesa membicarakan tentang sambutan filem yang diperoleh, walaupun kebanyakan produser suka mendedahkan perkara tersebut. Bagi saya, kita perlu berfikir bagaimana mahu memuaskan dan mengikuti citarasa penonton setiap kali menghasilkan filem,” tegasnya.
Sementara itu, Syamsul kini sedang merancang untuk menghasilkan filem prekuel KL Gangster pula pada hujung tahun ini. via Mstar Online