Terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 25 November ini, setiap Rabu, pukul 11.00 pagi menerusi saluran TV Okey tampil dengan program “Kitak Karok Bah” merupakan sebuah program TV muzikal travelog yang berkonsepkan muzik di Sabah dan Sarawak yang membongkar keunikan negeri Sabah dan Sarawak bersama-sama Harith Daniel dan 13 artis jemputan.
Tujuh artis tempatan kelahiran Sabah bersama-sama hos mengunjungi dan berkongsi info lokasi menarik dalam negeri yang sering dirujuk sebagai “Negeri di Bawah Bayu” itu. Pastinya perkongsian ini bukan sahaja memperkenalkan destinasi menarik sebaliknya penonton turut dihiburkan dengan nyanyian melodi indah daripada artis undangan.
Penyanyi rap, Benzooloo atau nama sebenarnya Bennye Francis, menerokai lokasi indah terletak di sekitar Semporna, Sabah antaranya Pusat Lautan Pelancongan Semporna, dan Galeri Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak, Semporna.
Seterusnya Natasha Amanda berada di Ranau, Sabah memperkenalkan lokasi Polumpung Melangkap View Camp Site, Kota Belud, Sabah, diikuti episod bersama Diddy di Sandakan, Sabah, Kumpulan Roktrus berada Kokol Farmstay, Hard Rock Café, Kota Kinabalu, Sabah, dan Sandra Dianne di Kundasang, Sabah.
Ada juga episod bersama-sama dua lagi penyanyi Sabah iaitu Pidang di Lahad Datu dan Fauziah Gambus bercerita dan mengunjungi kawasan menarik di sekitar Kota Kinabalu, Sabah.
Bintang-bintang kelahiran Sarawak pula antaranya Fieya Julia, anak kelahiran Kuching Sarawak yang dikenali dengan lagu nyanyiannya bertajuk Perasaanku. Fieya meluangkan masa memperkenalkan keistimewaan terletak di Bau, Sarawak.
Seterusnya ikuti perjalanan mengujakan artis Sarawak yang lain termasuklah Novita di Miri, Sarawak, Elvin George di Miri, Sarawak, Kumpulan 17teen di Bintulu, Sarawak, Alfairez J. di Santubong, Sarawak yang mengunjungi Rumah Melanau dan Fiona John di Kuching, Sarawak berkesempatan mengunjungi kedai Kek Lapis Warisan.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.