Kemelut keluarga arwah Abam Bocey dan Hidayah
Pada tanggal 10 Februari, kita dikejutkan dengan berita kematian pelawak Abam Bocey yang disebabkan demam panas. Pada masa itu, kehilangan yang mengejutkan ini menjadi tular kerana banyak sekali kebaikan arwah semasa hidupnya mula diperkatakan satu persatu. Ramai yang terasa kehilangan pelawak hebat ini. Walaubagaimanapun, insiden sedih ini bertukar kemelut apabila balu arwah iaitu Siti Hidayah dikatakan mempunyai konflik dengan keluarga mertua terutamanya adik Abam iaitu Ali Puteh.
Kisah pembahagian harta antara keluarga ini berlanjutan sehingga beberapa bulan lamanya sampaikan mereka terpaksa meminta bantuan undang-undang bagi menyelesaikannya secara adil.
Perkahwinan Mira Filzah & Wan Emir
Walaupun hanya khabar angin yang bertiup kencang mengatakan bahawa Mira Filzah sedang hangat bercinta dengan Wan Emir, namun ianya hanya dimaklumkan secara rasmi kepada umum menjelang perkahwinan mereka. Boleh dikatakan sebagai ‘Wedding Of The Year’ kerana majlis pernikahan di antara pasangan itu ditayangkan secara langsung menerusi saluran TV3.
Sudah pun beberapa bulan berkahwin, pasangan ini langsung tidak segan untuk berkongsi kehidupan seharian mereka menerusi saluran YouTube #EmirAmirah. Sweet sangat!
Fazura Selamat Lahirkan Cahaya Mata Sulung
Siapa tak kenal dengan pasangan popular Fazura dan Fattah Amin? Merendah diri dalam menayangkan perhubungan mereka namun rakyat Malaysia nyata gembira apabila dikhabarkan bahawa mereka bakal menimang cahaya mata sulung.
Apa yang menggembirakan peminat, Fazura dan Fattah Amin telah pun mengumumkan berita kelahiran puteri mereka yang diberi nama Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu.
Tuduhan Cabul Terhadap Da’i Syed
Bermula daripada luahan seorang individu di Twitter, tuduhan cabul dan rogol yang dilemparkan kepada Da’i Syed ini semakin besar apabila semakin ramai saksi tampil menceritakan pengalaman yang sama. Mulanya membuat laporan polis dan tidak memberikan komen apa-apa, tetapi Da’i Syed akhirnya direman selepas pihak polis menerima beberapa laporan mengenai kejadian tersebut.
Walaubagaimanapun, Da’i Syed diikat jamin sebanyak RM35,000 daripada tiga pertuduhan dan mahkamah menetapkan 19 Februari 2021 ini sebagai sebutan semula kes.
Kisah Bantuan Artis Semasa PKP
Disebabkan oleh COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini, sumber rezeki rata-rata rakyat nyata terjejas. Oleh itu, kerajaan telah memulakan inisiatif Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi membantu golongan yang terjejas teruk ini. Pun begitu, tindakan Black yang meminta bantuan khas untuk penggiat seni memandangkan aktiviti mereka terjejas menimbulkan rasa kurang senang netizen.
Bahkan permintaan itu turut disebut oleh beberapa artis lain seperti Tomok, Shuib Sepahtu, Achey dan beberapa lagi selebriti. Tidak lama kemudian, Zarina Anjoulie telah menyelar isu tersebut selain mengkritik kebanyakan artis tersebut yang tidak menyimpan untuk kecemasan dan hanya tahu menayang kemewahan masing-masing.
Susulan daripada itu, Zarina Anjoulie kemudiannya bertikam lidah dengan pelakon Amyza Adnan kerana kononnya terdapat satu kumpulan sembang di Telegram yang mengumpulkan para selebriti di mana mereka menyelar Zarina kerana lantang bersuara. Walaupun kes itu dibawa sehingga ke mahkamah namun akhirnya ia tamat begitu sahaja.
Pertunangan dan pergolakan hubungan Neelofa & PU Riz
Pada awalnya hanya khabar angin, namun Neelofa dan PU Riz disahkan sudah bertunang apabila perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh ibu usahawan wanita itu menerusi laman Instagram rasminya. Bahkan pasangan itu tidak beria menonjolkan hubungan mereka melainkan pernah menghadiri program bual bicara bersama-sama.
Pun begitu, perhubungan itu tiba-tiba dikatakan bergolak apabila adik-beradik Neelofa mula memuat naik entri meragukan selain turut tidak mengikuti lagi Instagram lelaki itu. Bahkan berterbangan di laman media sosial yang mengatakan bahawa Neelofa terkena buatan minyak pengasih dan sudah pun menikah di Kelantan bersama PU Riz.
Namun segala khabar angin tidak sahih itu kemudiannya ditepis sendiri oleh Neelofa melalui kenyataan rasmi bertulis dan juga video di Instagram. Katanya lagi, keluarganya dan keluarga PU Riz sedang mencari jalan penyelesaian kini.
Asyraf Sinclair meninggal dunia
Walaupun lebih aktif di Indonesia namun berita pemergian Asyraf Sinclair telah pun mengejutkan seluruh penduduk Malaysia. Tambahan pula ramai yang terkesan melihat isterinya, pelakon Bunga Citra Lestari dan anak mereka, Noah yang tampil kuat ketika di majlis pengebumian arwah.
Siti Nurhaliza Hamil Anak Kedua
Siti Aafiyah ternyata disayangi ramai dan segala tindakannya pasti menjadi perhatian semua orang. Peminat nyata berteka-teki apabila melihat kanak-kanak itu yang asyik mencium perut ibunya semasa satu siaran langsung di Instagram. Disebabkan itu, semua mula menebak bahawa Dato’ Siti Nurhaliza berkemungkinan besar sedang mengandung anak kedua.
Mengujakan apabila Dato’ Siti Nurhaliza membuat pengumuman mengenai kandungan keduanya pada awal bulan ini. Bakal menimang anak lelaki, penyanyi No 1 negara itu bersyukur kerana hasratnya untuk memiliki sepasang cahaya mata akhirnya tercapai.
Da’i Farhan dan isteri kedua akhirnya bercerai
Tenggelam sebentar daripada perhatian ramai, namun netizen terkejut apabila Dr. Erin mengesahkan bahawa dia sudah pun berpisah dengan Da’i Farhan. Katanya, dia rela dengan keputusan tersebut apabila terkenangkan isteri pertama selain lelaki itu yang tidak tahan rindukan anak-anaknya.
Kamal Adli melamar Uqasha Senrose di atas pentas AME2020
Penonton Anugerah MeleTOP 2020 nyata terkejut apabila melihat pelakon Kamal Adli melutut di atas pentas dan melamar Uqasha Senrose ketika mereka sepatutnya menyampaikan anugerah pada malam itu. Meskipun sering menafikannya sebelum ini, namun lamaran secara terbuka itu membuktikan bahawa mereka sudah lama bercinta namun lebih senang untuk menyimpannya daripada pengetahuan umum.
Macam-macam kan yang terjadi pada tahun ini? Ada yang baik dan ada yang boleh dijadikan pengajaran. Apa pun semoga dunia hiburan semakin meriah lagi pada tahun 2021!