Setelah berjaya dengan percubaan pertama beliau menghasilkan senaskhah Filem Televisyen (FTV), “The Hantus” pada tahun lalu, pengarah, pelakon, penyanyi dan pengacara popular tanah air, Nabil Ahmad sekali lagi menzahirkan buah tangan terbaharu, “Dato” S yang bakal disiarkan di Astro First Eksklusif (saluran 480), Oktober ini.
Filem arahan pengarah berbakat besar, Shahrol Esham ini merupakan idea asal Nabil sendiri dan diterbitkan oleh KMN Production Sdn Bhd dengan kerjasama Cinemalaya Sdn Bhd.
“Dato” S menampilkan pendekatan yang berbeza dan cukup berani apabila mengangkat isu-isu semasa yang membimbangkan dan kerap berlaku di kalangan masyarakat hari ini, terutamanya berkaitan dengan penipuan duit haram, isu “scammer”, penyamaran dan sebagainya.
Berkonsepkan aksi-komedi dan plot penceritaan yang mendebarkan, “Dato” S diperhebatkan dengan kehadiran nama-nama besar industri sebagai tonggak utama seperti Kamal Adli, Puteri Aisyah, Fikry Ibrahim dan Zulin Aziz.
Mengisahkan tentang Sazali (lakonan Kamal Adli) yang dikenali sebagai ‘Raja Scammer’ menipu orang sana-sini sehinggalah hidupnya diganggu Detektif Arman (lakonan Fikry Ibrahim) dan Bunga (lakonan Puteri Aisyah).
Mampukah aktiviti liarnya dijatuhkan? Saksikan ‘Penipu Paling Menyirap Abad Ini’ dalam “Dato” S.