Kecekalan wanita bernama Atikah begitu teruji bila terpaksa bersuamikan individu yang telah merampas harta keluarganya secara paksa. Segalanya dilakukan bagi menuntut kembali hak milik keluarganya yang dirampas oleh Firman. Atikah akhirnya berkahwin dengan Firman tanpa Firman mengetahui siapa diri Atikah sebenarnya. Firman terlalu tergila-gilakan Atikah hingga sanggup memindahkan hak milik pada Atikah.
Kemunculan Haziq pula dilihat membantu usaha Atikah dan memudahkannya untuk ‘menundukkan’ Firman yang begitu tamakkan harta bekas rakan kongsinya yang merupakan arwah ayah Atikah.
Kisahnya bermula dengan babak kebahagiaan suami isteri yang baru mendirikan rumahtangga masih hangat dirasakan antara keduanya. Firman merupakan pengurus besar ladang teh di Cameron Highland. Sangat menyayangi Atikah sejak mula bertemu beberapa bulan sebelum mereka bernikah. Sehingga ke hari ini Atikah ditatang penuh manja oleh Firman.
Kecantikan Atikah terserlah dengan kelembutan perlakuan dan keayuan wajahnya. Pasti ada saja anak muda yang akan cuba mendekati Atikah kiranya terpandang Atikah bersiar-siar di sekitar Cameron highland dan kebun-kebun bunga ditemani pemandu peribadinya, Haziq. Haziq diarahkan oleh Firman untuk menemani Atikah bersiar-siar di sekitar Cameron Highland kerana Firman terlalu sibuk menguruskan hal-hal perladangan.
Firman hanya memerhati dari jauh dengan senyuman dan kepercayaan bahawa Atikah mencintai dirinya sepenuh hati. Sehinggalah di suatu hari, Firman terserempak mereka dalam keadaan yang agak mesra. Firman sangat curiga dengan kemesraan mereka hingga melarang Atikah untuk keluar bersiar-siar lagi ditemani Haziq. Atikah menafikan tuduhan Firman yang menuduh dirinya ada hubungan sulit dengan Haziq. Firman membenarkan Atikah untuk keluar bersiar-siar namun sebaliknya Haziq dipecat oleh Firman sebagai pemandu peribadinya.
Haziq yang agak sedih mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya sementara mendapatkan kerja lain.
Beberapa bulan sudah berlalu. Tiada satu berita tentang Firman dan Atikah yang didengarinya. Seperti biasa, Haziq menjalani kehidupan hariannya sebagai anak muda kampung dengan membuat kerja-kerja kampung, sehinggalah Haziq terima satu pucuk surat dari Firman yang meminta Haziq untuk datang ke rumahnya di Cameron Highland. Surat itu membuatkan Haziq terkejut dan berfikir-fikir apakah tujuan bekas majikannya menjemput dirinya untuk datang bertandang ke rumah Firman.
Tepat masa yang dijanjikan, Haziq tiba di rumah Firman. Firman sudah sedia menunggu dan tiada Atikah bersama Firman. Haziq berasa pelik dan bertanya ke mana perginya Atikah dan Firman menceritakan segalanya.
Semasa Haziq dipecat, Firman seringkali bertengkar dengan Atikah sehinggakan Firman menceraikan Atikah dengan talak tiga. Firman mahukan Atikah kembali tetapi tidak boleh. Hanya dengan cara ‘cina buta’ Firman dapat kembali semula dengan Atikah. Firman meminta pertolongan Haziq. Firman menawarkan sejumlah wang untuk Haziq kiranya Haziq membantunya. Setelah berfikir panjang Haziq menerima tawaran Firman.
Haziq berjumpa dengan Atikah menyatakan hasratnya untuk melamar Atikah. Atikah menerimanya dengan rela hati. Setelah berkahwin, mereka berbulan madu di Cameron Highland kerana itulah syarat perjanjian antara Haziq dan Firman supaya Firman dapat memerhati dengan jarak dekat.
Semakin hari semakin hangat dirasakan cinta antara Haziq dan Atikah. Mereka bahagia bersama. Firman merasakan terlalu lama untuk Haziq menceraikan Atikah. Dengan rasa tidak puas hati, Firman bertanyakan kepada Haziq kenapa Haziq masih belum menceraikan Atikah. Haziq meminta sedikit masa lagi kerana terlalu awal dan tiada sebab kenapa dia boleh menceraikan Atikah.
Namun hakikatnya Atikah menyembunyikan kebenaran pahit yang disimpannya selama ini. Firman adalah musuh keluarganya dan sebenarnya dia mahu membalas dendam terhadap Firman dan membuatkan lelaki itu merana. Begitu pun apakah rahsia yang disembunyikannya selama ini?