in

Kisah Bapa Tunggal dalam A Father’s Choice

KISAH BAPA TUNGGAL DALAM A FATHER’S CHOICE : KHAS HARI BAPA DI RTM

Pengorbanan seorang ayah tidak kurang pentingnya dalam kehidupan seorang bergelar anak. Apatahlagi bila ibu tersayang sudah tiada lagi di dunia. Si ayah pula menggalas tanggungjawab menjadi ketua keluarga mendidik anak-anak selain mencari nafkah untuk keluarga.

Bayangkan situasi si ayah yang setelah penat pulang bekerja terpaksa menyediakan makanan dan keperluan anak-anak gadisnya yang pelbagai ragam. Cuba memaparkan kisah kehidupan seorang bapa tunggal menjalankan tugas sebagai ibu dan ayah sekaligus, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan filem hebat tahun 2000, A Father’s Choice lakonan aktor hebat Georgie Collins, Mary McDonnell, Barbara Duncan, Susan Hogan, Yvonne Zima dan Michelle Trachtenberg yang disiarkan pada 18 Jun 2010 (Jumaat), jam 12.00 tengah malam mengisi slot tontonan ramai, Friday Nite Movie On 2 di TV2.

Kisah kekeluargaan yang dipaparkan filem A Father’s Choice mengangkat cerita bagaimana pengorbanan dan kesungguhan seorang bapa, Charlie ‘Mac’ McClain lakonan Peter Strauss memelihara dua anak gadisnya yang masih muda mengenal dunia, Kelly dan Chris. Apatahlagi ketika itu kedua-duanya masih lagi diselubungi trauma setelah tragedi kematian ibu mereka.

Akibat kejadian yang menimpa isterinya itu, Charlie mula memikirkan cara bagaimana mahu menjauhkan kedua-dua anaknya daripada diselubungi kesedihan berpanjangan. Di sinilah dia mula merapatkan diri dengan Kelly dan Chris berkongsi saat duka bersama.

Hinggalah satu hari dia memutuskan untuk keluar dari bandar dan membawa anak-anaknya itu berhijrah dan meneruskan kehidupan jauh daripada suasana kesibukan bandar.

Apatahlagi dia mahu memberi perubahan baru dalam hidup mereka sekeluarga selain pengorbanan turut disingkap dalam kisah ini bagaimana bapa tunggal itu menjalankan tanggungjawab mengurus dan melayani kerenah anak-anaknya yang semakin membesar itu.

Begitu pun kehadiran kaunselor bernama Susan Shaw yang muncul di tengah-tengah keluarga mereka memberikan impak yang berbeza. Adakah kekuatan ikatan kekeluargaan yang terbina antara mereka semakin pudar atau hakikatnya semakin erat di sebalik pelbagai kejadian yang berlaku?

Pada masa sama dapatkah mereka menyesuaikan diri tinggal di tempat baru itu? Mampukah Charlie mengendalikan situasi genting itu bersendirian sedangkan dia pun masih dalam situasi berduka mengenangkan isterinya? Untuk mengetahui kesudahannya pastikan anda meluangkan masa tengah malam anda hujung minggu ini menyaksikan A Father’s Choice pada 18 Jun 2010 (Jumaat), jam 12.00 tengah malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Saiful Apek Lari dari Wartawan

Ujibakat Pertandingan Adik-Adikku Musim Ke-2