Alif Haikal miliki paras kacak, pandai bergaya, memiliki senyuman manis yang mampu mencairkan hati gadis yang memandang, namun ada dua tabiat yang mencacatkan penampilannya. Pertama, Alif Haikal dan bantal busuk tidak boleh dipisahkan. Kedua, dia suka menggigit kukunya sendiri apabila dalam kesedihan ataupun buntu. Kedua-dua tabiat ini membuatkan dia sukar menemui cinta seorang gadis yang boleh menerima kekurangannya.
Menampilkan pelakon Zahiril Adzim, Marsha Milan Londoh, Jasmin Hamid, Roy Azman, Nazeera Sardi, Shakilla Koriri dan Mak Jah, telemovie menarik bertajuk “Bantal Busuk Ucu” ini disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 17 Februari ini, pukul 10.00 malam di TV2.
Imbas kembali ketika usia Alif Haikal tujuh tahun, arwah bapanya telah menghadiahkan kepadanya satu bantal. Bantal itu sangat digemari oleh Alif dan setiap kali mahu tidur pasti dia akan bertemankan bantal itu. Lama kelamaan bantal itu dipanggil sebagai bantal busuk Ucu (nama gelaran Alif dalam keluarga).
Kakaknya, Alia Hafiza berhijrah mengikut suaminya yang menetap di Kuala Lumpur. Ketika itu, Alif baru saja tamat SPM dan berpeluang melanjutkan pengajian di sebuah IPTA. Serentak dengan itu juga mereka dikejutkan dengan satu khabar yang mendukacitakan hidup mereka sekeluarga apabila bapa mereka maut di lautan (kelasi kapal) ketika sedang bertugas. Mayat bapanya tidak ditemui. Semenjak itu, ibu mereka sering jatuh sakit dan menangis mengenangkan arwah suami yang dicintainya itu. Puas Alia memujuk mengajak ibunya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur, namun Puan Habsah berdegil dan tidak mahu meninggalkan rumahnya.
Alif terpaksa mengorbankan hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat IPTA untuk menjaga ibunya. Dia bekerja di sebuah cyber café tidak jauh dari rumahnya. Motor itu pemberian terakhir arwah bapanya ketika dia berusia 17 tahun. Puan Habsah pula merasakan arwah suaminya masih hidup. Saban malam dia akan membaca surat-surat cinta arwah suaminya sambil tersenyum dan kemudian akan meminta pen dan kertas daripada Alif untuk membalas surat-surat tersebut.
Alif mengambil keputusan untuk menetap bersama kakaknya di KL atas desakan kakak dan abang iparnya yang risau melihat perubahan Alif yang murung dan suka menggigit kuku semenjak kematian ibunya. Faiz, abang iparnya telah mendapatkan satu pekerjaan yang sesuai dengan minat Alif di salah sebuah syarikatnya. Kebetulan syarikat itu memerlukan editor yang mahir dan pakar tanpa perlu mereka memulakan training dari awal.
Syarikat penerbitan di uruskan oleh rakan kongsi Faiz iaitu Syakilla yang merupakan teman sewaktu pengajian di London dulu. Syakilla masih belum berkahwin dan merupakan seorang bos yang tegas dan garang. Setiap hari, Alif akan menggalas beg laptop ke tempat kerjanya yang mana sangkaan orang di dalamnya akan berisi laptop tetapi rupanya ia adalah bantal busuknya. Ketika melakukan kerja editing, apabila mengantuk sahaja dia akan menyorongkan bantal busuknya dan tidur di mana-mana sahaja ruang dalam bilik editing yang sememangnya khusus untuknya.
Pernah suatu ketika, Syakilla mendatangi biliknya untuk bertanyakan progress kerja dan terkejut mendapati Alif sedang enak tidur dengan bantal busuknya dengan gaya menghisap ibu jari. Syakilla dengan sekuat hati menjerit nama Alif. Syakilla bengang dengan cara Alif yang seakan-akan tidak menghormatinya. Namun, dia tidak dapat menafikan kehebatan kerja editing yang dilakukan oleh Alif. Semua memuaskan hatinya dan client-cliet turut memberi pujian dengan hasil kerja Alif.
Satu hari beg tangan Syakilla telah diragut oleh peragut bermotor. Kebetulan Alif dan anak saudaranya Danish berada di tempat berhampiran kerana mereka keluar bersama. Sebaik mendengar jeritan Syakilla, bergegas Alif mendapatkannya. Melihat Syakilla yang cemas, Alif mula menggigit kukunya. Manakala Misha pula tiba-tiba dipanah asmara melihat penampilan Alif yang bergaya dan mempunyai raut wajah yang hensem itu.
Keesokan hari, Alif mengetuk pintu bilik Syakilla yang sedang berbincang dengan clientnya. Sebaik saja Syakilla benarkan masuk, Alif meluru dengan gembira sambil sebelah tangannya memeluk bantal busuknya dan menyembunyika sesuatu di sebalik bantal busuknya. Syakilla dan clientnya memandang pelik Syakilla bertanyakan tujuan Alif masuk ke biliknya. Alif kemudiannya mengeluarkan beg tangan Syakilla yang diragut semalam dan menyerahkan kepada Syakilla dengan harapan dia akan gembira mendapat kembali beg tangannya. Tetapi sebaliknya , Syakilla menampar mukanya dan menuduhnya merancang kes ragut itu untuk mengenakannya. Alif terkedu.
Alif kemudiannya meletak jawatan. Syakilla rasa bersalah bila mengetahui situasi sebenar keadaan Alif. Masihkah ada peluang untuk keduanya bersatu?