KONGSI AZAM TAHUN BARU 3 ANAK MUDA DALAM DRAMA RESIPI CINTA DI TV2
Setiap seorang daripada kita pastinya memiliki azam dan impian yang ingin dicapai apatahlagi ketika menjelangnya sambutan tahun baharu. Pastinya semua orang mengimpikan kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya termasuk impian tiga anak muda yang mengisi plot drama bertajuk Resipi Cinta disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 Januari 2010 (Jumaat), jam 10.00 malam di TV2.
Bakal mengisi slot Citra, drama terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd ini mempertaruhkan gandingan pelakon terkenal Fahrin Ahmad, Piere Andre dan Douglas Lim Yew Sim membawakan watak tiga orang pemuda yang tinggal di sebuah rumah dan masing-masing mempunyai latar belakang keluarga dan kerjaya yang berlainan.
Haikal adalah seorang tukang masak yang mudah jatuh cinta terhadap wanita yang ditemuinya. Dia ikhlas mencintai mereka dan dia mesti selalu di lamun cinta barulah dia dapat mnghasilkan masakan yang enak dan lazat. Samada wanita itu mencintainya atau tidak itu tidak penting. Jika “mood”nya tidak baik masakannya biasa-biasa sahaja dan yang boleh mengembalikan mood Haikal hanyalah perasaan cinta dan sayangnya pada wanita.
Dia tinggal bersaorangan di sebuah rumah teres dua tingkat dan pada masa sama dia telah mengiklankan bilik untuk di sewa tetapi tiada seorang pun yang sesuai. Sehinggalah pada suatu hari muncul dua orang yang bakal menceriakan hidup Haikal hingga terjalinnya suatu ikatan persahabatan yang akrab antara Haikal si tukang masak, Khairul si pencinta seni dan Joshua seorang lulusan institusi pengajian tinggi.
Sukar untuk mempercayai yang Haikal, Khairul dan Joshua dapat hidup sebumbung. Khairul dengan khayalan dan dunia seninya kadang-kadang suka menyendiri ketika menghasilkan karya dan kadang-kadang tak habis-habis mendendangkan lagu-lagu untuk persembahannya. Itu sahaja kerja Khairul yang tidak suka mengemas, selalu kelihatan selekeh dan kurang berdisplin. Ini melemaskan Haikal dan Joshua. Di mana sahaja Khairul duduk pastinya akan bersepah. Kalau ada temujanji pasti terlambat.
Bagi mengekalkan keharmonian, Haikal terpaksa menguatkuasakan peraturan di rumahnya. Pembahagian kerja perlu dilakukan. Haikal akan mengambil alih hal memasak, Joshua memastikan kekemasan rumah dan Khairul menghias rumah. Namun apakah kesudahan ketiga-tiga pemuda yang ingin mengejar impian mereka bagi tahun baru ini?
Untuk mengetahui apakah impian mereka pastikan janji temu anda menyaksikan Resipi Cinta disiarkan pada 1 Januari 2010 (Jumaat), jam 10.00 malam di TV2.