Kini Bergelar Senator, Ras Adiba Umum Berundur Dari Dunia Penyiaran
Empat hari lalu, Budiey ada menyiarkan berita tentang Personaliti televisyen dan penyampai berita NTV7, Ras Adiba Radzi telah dilantik menjadi senator mewakili golongan orang kurang upaya (OKU). Hari ini, beliau akan dilantik secara sah. Tahniah!
Menerusi perkongsiannya di laman Instagram, personaliti televisyen Ras Adiba Radzi berkongsi khabar berita apabila dia secara rasminya telah mengucapkan selamat tinggal pada dunia penyiaran selepas 34 tahun berkecimpung dalam bidang ini.
Berat Untuk Buat Keputusan
Berkongsi rasa sedih untuk meninggalkan bidang yang sudah menjadi ‘darah dagingnya’, Ras akui pada mulanya dia agak berat untuk membuat keputusan ini. Namun demi tanggungjawabnya dan percaya dengan takdir Ilahi, dia percaya keputusan seumpama ini pasti akan tiba.
Dilantik Sebagai Senator
Difahamkan, Ras meninggalkan titik noktah dalam dunia penyiaran selepas pembaca berita NTV7 ini dilantik sebagai senator mewakili golongan orang kurang upaya (OKU). Majlis angkat sumpah untuk jawatan itu akan diadakan pada hari ini.
Dalam perkongsian tu, dua hari lalu merupakan kali terakhir dia dilihat di kaca televisyen sebagai seorang pembaca berita jam 8 di NTV7.
“Saya adalah seorang pemberita selamanya dan berat sungguh untuk saya buat keputusan ini. Saya harus tinggalkan kamu aduhai, jiwa saya.
“Dan malam ini (semalam) jam 8 di NTV7, berakhirlah sudah kisah cinta kita apabila dengan perlahan saya cabut keluar mikrofon yang tersemat di kolar jaket dan alat pendengaran dari dalam telinga saya. Kalbu saya teresak menangis kerana inilah pengakhirnya.
“Maaf kerana saya terpaksa berundur bukan kerana tidak sayang tetapi kerana rancangan Illahi sudah tersusun rapi.
Esok saya teramat sungguh namun tidak akan mahu saya ucapkan selamat tinggal. Apa mungkin saya akan dirindui?,”
– Ras Adiba Radzi
Sebagai info, Ras memulakan karier sebagai seorang penyampai berita sekitar tahun 1986. Ketika itu, figura ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi penyampai berita termuda negara.
Bagi pelantikannya sebagai senator, Ras adalah yang ketiga selepas Allahyarham Y.B Dr Ismail Md. Salleh dan Y.B Bathmavathi Krishnan. Terima kasih dan selamat bertugas buat Senator Ras Adiba Radzi!
Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.