Topik “Kilauanmu Inspirasiku” Dalam Forum Perdana Ehwal Islam Minggu Ini di TV1. Forum Perdana Ehwal Islam, edisi 16 Oktober 2014 minggu ini, pukul 10.05 malam di TV1 bakal membincangkan isu bertajuk ‘Kilauanmu Inspirasiku’ yang mengangkat sumbangan golongan warga emas dalam masyarakat di negara kita.
Bersama moderator Ustaz Mohd Hariri Mohd Daud, program dirakamkan bertempat di Dewan Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) Kota Kinabalu Sabah yang diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat ini pastinya mampu mencetus dan menyuntik semangat kalangan warga tua dalam menyumbang sesuatu untuk masyarakat.
Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran. Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Dalam erti kata lain, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada pembangunan negara dan bangsa, walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil.
Sehubungan itu, diskusi isu warga emas tidak sepatutnya dipinggirkan dan jasa mereka tidak sepatutnya dinafikan ini pastinya memberi kebaikan kepada semua dalam mengangkat persoalan apakah peranan masyarakat dalam menghargai jasa warga emas kepada nusa dan bangsa?
Menariknya kupasan tajuk ini menampilkan ahli panel jemputan Ustaz Aziz Bongsu Jaafar (Mufti Negeri Sabah), Ustaz Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim (Pensyarah UKM) dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.