[dropcap]M[/dropcap]elihat bakat genit di lantai tari ditambah dengan jumlah penonton yang hadir menyaksikan pertandingan akhir Lantai Cilik ilham kerjasama strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan RTM pada 6 April lalu di Auditorium Perdana Angkasapuri ada banyak perihal yang boleh disimpulkan.
Berlangsung sehari sebelum acara Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 dan di saat demam Pilihan Raya Umum ke-13 mula melanda, kerjasama kedua JKKN-RTM selepas pertandingan Mimpi Ke Bintang itu memberi simbolik positif dalam terus memartabatkan seni tarian tradisional terutamanya serta kontemporari di kalangan anak muda.
[dropcap]P[/dropcap]epatah melentur buluh biar dari rebungnya sesuai menggambarkan inisiatif JKKN-RTM ini. Malah di saat sambutan dan impak pertandingan ini masih berbekas, sudah mula kedengaran ura-ura untuk menyambung pertandingan ini untuk musim kedua. Salah seorang juri terbabit iaitu Linda Jasmine turut memuji bakat kesemua peserta ini.
Pada malam pentas akhir Lantai Cilik yang dihoskan Seri Nabilla dan Azrul Cham dibantu adik Wafiy serta Wan Rull Puppet (juara program Mimpi Ke Bintang) yang bertindak sebagai pengulas, nasib dan rezeki berpihak kepada Kiawayan Dance Club (KDC) dari Sekolah Kebangsaan Kiawayan, Tambunan, Sabah.
Kejayaan berkenaan melayakkan KDC membawa pulang wang tunai, RM40,000 beserta hadiah sampingan seperti trofi, sijil, Apple Ipad Mini 64GB dengan WiFi setiap seorang, barangan elektrik tajaan Noudi, baucar pakaian Hari-Hari dan tiket masuk ke Taman Tema Sunway Lagoon.
KDC membenamkan impian Langkah Cilik (Sekolah Kebangsaan Sembulan, Sabah), Kakinari Dancers (Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur), Raven Dancers (Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Masai, Johor) dan Sri Warisan (Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan), dengan perolehan keseluruhan markah 95.4.
KDC berjaya menawan hati juri terbabit seperti Linda, Rektor ASWARA, Zamzuriah Zahari dan Joseph Gonzales, Ketua Juri Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dzulkarnain Ramly dan Ketua Penolong Pengarah Unit Sukan TV RTM, En. Albert Khoo Cheng Chwee.
Setiap peserta Lantai Cilik harus melunaskan dua pusingan tarian. Satu daripadanya ialah tarian spontan berdasarkan pilihan yang diberikan dan keduanya tarian yang sudah dipilih sedari awal berdasarkan tema. KDC selaku juara memilih tema Citra Tari yakni tarian Lumaaq (rezeki).
Lumaaq (Rezeki) menyorot kehidupan kaum Kadazan Dusun semasa penerokaan awal mencari lumaag, penonton dapat merasakan keseluruhan gerak dalam tarian ini, yang digarap dari kisah etnik Kadazan Dusun Sabah mencari rezeki melalui pelbagai upacara untuk dipersembahkan kepada Kinorohingan (Tuhan).
Naib Juara turut dimenangi pelajar dari Sabah iaitu kumpulan Langkah Cilik dari Sekolah Kebangsaan Sembulan. Mereka memperoleh markah keseluruhan 89.9 manakala di tempat ketiga menjadi milik Kakinari Dancers dari Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dengan perolehan markah 87 mata.
Hadiah saguhati diserahkan kepada Ravan Dancers dengan jumlah markah keseluruhan 86.4 dan Sri Warisan (86.2) menerima wang tunai RM5,000, trofi, sijil, Apple Ipod Shuffle 2GB setiap seorang, barangan elektrik tajaan Noudi, baucar pakaian Hari-Hari dan tiket masuk ke Taman Tema Sunway Lagoon.
Lantai Cilik akhir dipancarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri bermula jam 9 malam menerusi TV2 dan TVi (Astro 180). Pencarian bakat Lantai Cilik disiarkan TV2 sejak Oktober tahun lalu bermula dari sesi uji bakat di enam zon. Lebih 80 buah kumpulan disaring dari peringkat suku akhir hingga separuh akhir.