Penjaga gol kebangsaan dan pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali dengan panggilan Apex melangkah maju setapak ke dunia fesyen dengan melancarkan baju melayu ilhamnya sendiri.
Sempena menyambut Syawal tahun ini, Apex yang kini bahagia bersama isteri, Leuniey Natasha dan puteri sulung Kayla Elayna telah mewarwarkan mengenai koleksi baju melayu eksklusif berkenaan di laman instagramnya yang mana Apex telah menggelarkan rekaan tersebut sebagai Khairul Fahmi Homme.
Tidak menampikan rekaan yang berat dan masih mengekalkan elemen tradisional, Apex berkata untuk menampikan kelainan pada baju tersebut, dia telah menghias baju melayu itu dengan batu Swarozski pada bahagian poket.
“Potongan baju ini adalah slim fit cutting dengan material yang lembut serta tidak panas. Ada 11 warna semuanya dan ia dilengkapi dengan butang baju Melayu. Semua size ada, S, M, L & XL.
“Untuk koleksi istimewa ini, kami hanya mengeluarkan 500 pasang saja. Oleh itu, ianya sangat terhad. Ia juga hanya boleh dibeli di booth Leuniey Natasha di Mood Republik Kelantan pada 3 dan 4 Julai nanti. Di PWTC, Kuala Lumpur pula pada 11 hingga 12 Julai nanti,” katanya.
Ditanya lebih lanjut tentang baju Melayu tersebut, Apex menjelaskan bahawa isterinya dan peminat menjadi pendorong utama buat dirinya untuk maju ke dalam bidang fesyen pula.
“Peminat selalu bertanya kepada saya, jenis pakaian dan rekaan yang saya gemar. Malah, mereka juga berkongsi ingin memakai baju yang sama dengan saya. Saya bukanlah seorang yang mahir dalam bidang fesyen, jadi saya banyak berbincang dengan isteri tentang selok belok fesyen.
“Baju Melayu ini adalah design yang selesa untuk saya. Saya harap, selesa untuk saya juga selesa untuk peminat. Insya-Allah, seandainya mendapat sambutan, saya bakal mengeluarkan koleksi yang lain atas jenama saya sendiri pada masa akan datang,” jelasnya yang teruja menanti kelahiran anak kedua tidak lama lagi.
Harga untuk koleksi ini adalah RM 198 bagi saiz S, M & L dan RM 209 bagi saiz XL.
Kepada sesiapa saja yang berminat untuk mendapatkan koleksi baju Melayu ini, anda boleh terus melayari instagram Apex iaitu fahmiapexs untuk mendapatkan maklumat lanjut.