Penyanyi Khairil Khamis meninggal dunia kerana sesak nafas
KUALA LUMPUR: Penyanyi Khairil Khamis meninggal dunia pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur ekoran sesak nafas. Berita itu disampaikan kepada mStar oleh penyanyi, Nash sebentar tadi.
“Saya mengetahui berita sedih ini melalui pelakon Liza Abdullah pagi tadi. Jenazah allahyarham masih berada di Hospital Kuala Lumpur. Saya mengucapkan takziah atas pemergian allahyarham Khairil Khamis. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.” – Nash
Penyanyi dan pelakon era 1980-an, Khairel Khamis, 53 meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 6.20 pagi ini kerana penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Khairel atau nama penuhnya Khairudin Khamis menghidap darah tinggi dan kencing manis sejak beberapa lama. Allahyarham mengadu sesak nafas pada pukul 4.00 pagi dan dibawa ke sebuah klinik di Taman Melawati sebelum dibawa ke HKL.
“Semasa dalam ambulans ke HKL arwah dah tidak bergerak lagi,” kata anak angkatnya, pelakon Aeril, 21, yang menemani Allahyarham ke klinik dan ke HKL.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Besi sebelum solat Jumaat. Sebelum itu jenazah dimandikan di HKL dan dibawa ke masjid di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi untuk disembahyangkan.
“Allahyarham memang ada penyakit darah tinggi dan kencing manis sejak lama,” kata adik Allahyarham, Azizul Khamis.
Suasana di Bahagian Forensik HKL sayu apabila rakan-rakan Allahyarham melawatnya sejak awal pagi apabila dimaklumkan pasal kematian. Antara yang kelihatan ialah Ziela Jalil, Salwa Abdul Rahman, Lizawati Hamdan, Liza Abdullah, Nassier Wahab, S. Atan dan ramai lagi.
“Sejak akhir-akhir ini memang kami kerap berjumpa kerana Allahyarham ada projek mahu menerbitkan sebuah drama yang menampilkan rakan-rakan lama berlakon. Saya juga dah bersetuju kerana Allahyarham bersungguh-sungguh mahu menghimpunkan kawan-kawan. Tak sangka rupa-rupanya dia mahu pergi dulu,” kata Nassier Wahab semasa di temui di HKL.
Antara nama yang disebut membintangi drama baru itu ialah Salwa Abdul Rahman, Siti Fairuz dan ramai lagi. Allahyarham banyak terlibat dalam penerbitan drama dan bertindak selaku Pengurus Produksi untuk projek-projek tersebut.
“Judul drama itu ialah Akhirnya Semua Gigit Jari. Tak sangka kami benar-benar akan gigit jari sebab projek itu tidak dapat disempurnakan sebab masing-masing sibuk dengan utusan lain. Sudah lama Allahyarham mengusulkan pasal drama itu dan saya juga dah beri persetujuan sebab rasa seronok apabila kawan-kawan lama juga turut terlibat,” kata Salwa.
Menurut Salwa lagi minggu lalu dia berjumpa Allahyarham dan dia lihat keadaan Allahyarham memang kurang sihat dan nampak keletihan, malah dalam kereta Allahyarham tidur dan menyuruh orang lain memandu keretanya.
Sebenarnya saya sendiri baru semalam berbual dengan Allahyarham melalui telefon. Allahyarham mahu berjumpa untuk berbincang satu peluang bisnes yang baru disertainya. Allahyarham beriya-iya mahu berjumpa di sebuah restoran di Taman Melawati dekat rumahnya.
“Datang lewat malam pun tak apa kerana ada banyak benda yang nak bincang,” kata Allahyarham.
Malangnya saya terpaksa membatalkan perancangan itu kerana ada kerja lain yang membantutkan. Rupa-rupanya Allahyarham mahu berjumpa saya untuk kali terakhir. Alfatihah dihulurkan kepada Allahyarham. Miss June, ibu kepada penyanyi Wann juga rapat dengan Allahyarham. Minggu lalu Allahyarham ke rumahnya dan mahu makan pajeri terung masakannya.
“Saya memasak pajeri terung itu dan nampak dia berselera makan malah marahkan orang lain yang memakan masakan untuknya itu,” imbau Miss June.
Sementara itu kali terakhir Khairel merakam lagu ialah hujung tahun lalu menerusi album Anugerah yang menghimpunkan 12 artis.