SAMBUTAN hari lahir pasti lebih bermakna dengan kehadiran insan yang telah bertarung nyawa melahirkan kita.
Penyanyi yang sedang meningkat naik, Khai Bahar berasa sebak ketika meraikan hari lahirnya yang ke-24 baru-baru ini apabila melihat ibunya, Rosnah Mohamad membuat kejutan.
EKSKLUSIF: Ibu Khai Bahar Dedah Perangai Pelik Khai Masa Kecil & Lagu PERFECT
“Pandai ahli KBE simpan rahsia. Dalam diam, mereka jemput emak saya. Memang saya agak emosi kalau membabitkan keluarga,” katanya dipetik daripada BH Online.
Sambutan hari lahir itu telah diaturkan oleh kelab peminat Khai Bahar Empire (KBE) di Lavender Garden Hall, Ampang pada petang semalam.
Ibunya telah diundang dari Perlis bagi membuat kejutan dan turut ditemani oleh beberapa anggota keluarga yang lain bersama lebih 150 lagi peminat penyanyi lagu Bayang itu.
“Tambahan pula, emak yang melahirkan dan membesarkan saya. Selalunya hari lahir ini, kita fikir soal kita meningkat usia dan diraikan saja.
“Tapi di sebalik itu, hari lahir sebenarnya jadi lebih istimewa kerana insan bernama ibu yang bersusah payah melahirkan kita yang tidak wajar dilupakan,” tambahnya lagi.
Walaupun usia kariernya masih lagi terlalu muda, namun Khai bertuah kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya yang baru memasuki usia setahun.
“Perasaan gembira itu sukar digambarkan. Saya bertuah, bersyukur dan terasa dihargai dengan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.
“Tahun ini saja sudah beberapa kali saya diraikan sebelum tarikh kelahiran tiba.
“Saya harap cinta dan kasih sayang peminat itu tidak akan terhakis walau seincipun kerana perasaan sama itu ada dalam diri saya untuk mereka semua,” ujarnya lagi dengan gembira.
Dalam masa yang sama, penyanyi yang turut digelar sebagai King of Smule itu juga bakal muncul dengan single duet pertamanya bersama dengan Fatin Husna yang merupakan pendatang baharu.
“Lagu itu belum berjudul tapi sudah dirakamkan. Mengikut perancangan, ada dua single solo akan menyusul selepas itu.
“Malah, projek duet saya dengan Siti Nordiana seperti dikhabarkan sebelum ini, bakal menjadi realiti. Cuma kami tak mahu terburu-buru dalam hal itu,” kata penyanyi lagu Luluh itu lagi.
Zaman sekarang ni, penyanyi pun boleh bergelar pelakon dan bagi Khai serta syarikat pengurusnanya sendiri, hasrat untuk melibatkan diri dalam dunia lakonan itu mungkin perlu ditangguhkan dalam jangka masa yang panjang lagi.
Lebih-lebih lagi Khai kini baru sahaja mahu mencipta nama dalam industri muzik pastinya dia perlu mengukuhkan lagi kerjayanya sebelum beralih kepada bidang lain.
“Biarlah saya fokus dunia nyanyian betul-betul dulu… Berlakon itu kemudian. Saya percaya bila tiba masanya, pasti ada ruang untuk saya berjinak-jinak sebagai pelakon,” tambahnya.
Kata orang kalau dah ramai yang sayang, bila tibanya hari istimewa pasti banyak hadiah yang akan diterima.
Pada majlis hari lahirnya itu juga, Khai telah menerima lebih daripada lima biji kek serta hadiah daripada peminatnya. Amboi bertuah betul jadi Khai Bahar, macam-macaam boleh dapat.
Sumber: Berita Harian