Merdu suara penyanyi yang lebih mesra disapa sebagai Khai ini berjaya mengumpul kelompok peminat yang ramai bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia, Singapura, Hong Kong, Brunei, Taiwan dan Thailand. Hampir selepas 4 tahun mempertaruhkan bakatnya di arena muzik arus perdana Malaysia, Khai telah merakamkan 16 lagu termasuklah lagu duet bersama penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Siti Nordiana.
Bintang popular ini juga berjaya merangkul 28 anugerah antaranya:
- Artis Baharu MeleTOP di AME 2017
- Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 30
- Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 31, 32 & 33 (2017-2019) – 3 tahun
- Artis Paling Popular APM 2017 & 2018 – 2 tahun
- Penyanyi MeleTOP AME 2018 & 2019 – 2 tahun
- Ikon Media Social APM 2018
- Top Top MeleTOP Lelaki AME 2018 & 2019 – 2 tahun
Kejayaan yang dicapainya dalam masa yang singkat ini, telah membolehkan Khai menjayakan konsert solo pertamanya di Malaysia, Konsert Khai Bahar Dari Smule ke Pentas Dunia yang bakal dipentaskan pada 27 dan 28 Mac nanti di Istana Budaya.
Sebagai membuka lembaran seninya pada tahun 2020, Khai memilih untuk berkolaborasi dengan Faizal Tahir menerusi syarikat rakaman Faithful Music dalam menerbitkan single terbaharunya berjudul, “HatiNyawa”.
Lagu ini merupakan ciptaan bersama Faizal Tahir, Mike Chan, Mage, Ja’a dan Karim Karam. Jika lazimnya Khai dikenali dengan lagu berentak balada, kali ini Khai mencabar dirinya untuk mempertaruhkan pula lagu berentak rancak menerusi “HatiNyawa”.
Mengulas tentang “HatiNyawa”, Khai yang berharap konsep muzik yang disajikan dalam taruhan terbaharunya ini diterima baik peminat berkata,
“Lagu ini saya dedikasikan untuk peminat yang setia menyokong saya selama ini, kerana merekalah hati dan nyawa saya. Tanpa peminat, siapalah saya. Sokongan dan dorongan merekalah yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi saya untuk terus berkarya.”
– Khai Bahar
Penyanyi berusia 26 tahun ini turut berharap agar lagu ini dapat menaikkan lagi profilnya sebagai penyanyi yang berkemampuan membawakan pelbagai genre muzik.
Sarat dengan rentak dan melodi yang ‘catchy’, “HatiNyawa” bukan sahaja menampilkan sisi yang berbeza malah Khai turut menari di dalam muzik video. Muzik Video rasmi “HatiNyawa” boleh mula ditonton di saluran YouTube Faithful pada 22 Februari jam 12 tengah hari.
Single “HatiNyawa” terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 21 FEBRUARI 2020.