in , ,

Tarikan Drama KHABAR DARI CASABLANCA Lakonan Remy Ishak & Uqasha Senrose

Berdepan cuaca di Maghribi yang jauh lebih panas berbanding di Malaysia antara cabaran yang dilalui pelakon dan kru produksi drama bersiri terbaharu RTM bertajuk “Khabar Dari Casablanca” sepanjang menjalani penggambaran di tiga lokasi membabitkan Marrakesh, Essaouira dan Casablanca.

Bakal bersiaran mulai 2 Ogos ini, setiap Selasa hingga Khamis, pukul 8.30 malam di TV2, drama 26 episod ini menampilkan lakonan mantap Remy Ishak sebagai Farhan, Uqasha Senrose (Nadia), Sasqia Dahuri (Filzah), Riz Amin (Amir), Disha, Intan Najuwa, Aida Khalida dan Ahmad Fauzi.

poster Khabar Dari Casablanca di TV2

KHABAR DARI CASABLANCA Tarikan Penonton TV2 Lakonan Remy Ishak dan Uqasha Senrose

Ikuti perjalanan kisah suami isteri romantis yang menetap di Casablanca, Maghribi di mana Farhan bekerja sebagai juruterbang. Mereka kemudiannya mendapat khabar gembira Nadia hamil dan berita gembira itu dikongsikan dengan keluarga masing-masing di Malaysia iaitu En.Zul dan Zaleha, keluarga Farhan dan Datuk Iskandar dan Datin Amnah, keluarga Nadia.

Farhan terkejut bila Nadia memutuskan untuk pulang ke Malaysia dan Farhan tanpa rela terpaksa mengizinkannya. Ia pastinya berita baik bagi Filzah yang sudah lama menyimpan perasaan terhadap Farhan untuk membalas dendam terhadap Nadia walaupun dia telah berkahwin dengan Amir dan memiliki anak bernama Edham. Lakonan Filzah pura-pura berbaik-baik dengan Nadia menjadi hingga Nadia tidak perasan sedikit pun niat jahatnya.

Tidak lama di tanah air, Nadia dan keluarganya dikejutkan dengan berita pesawat dipandu Farhan terhempas dan pencarian mayat dan pesawat gagal kerana dikhuatiri tertimbus akibat rebut pasir. Nadia menyalahkan diri sendiri kerana meninggalkan Farhan di Casablanca dan fikirannya mulai terganggu. Apatahlagi bila Nadia menggunakan kesempatan yang ada menambah tekanan perasaannya.

Keadaan Nadia makin bercelaru dan dia beranggapan Farhan masih hidup. Keluarganya risau apatahlagi mengenangkan Nadia yang sedang berbadan dua. Nadia mula mengirim email kepada Farhan setiap hari dan menantikan balasan email suaminya itu. Keluarga merancang mengubati tekanan perasaan Nadia membawanya berjumpa pakar psikiatri. Sementara itu Filzah mula melagakan Nadia dengan adik iparnya, Sharina.

Mereka kemudiannya mendapat perkhabaran terkini bahawa Farhan terselamat dalam kemalangan pesawat terhempas. Dia diselamatkan oleh penduduk tempatan bernama Umar. Namun Farhan hilang ingatan. Dia kemudiannya meneruskan kehidupan sebagai ‘Khabar’ dan berkerja sebagai pemandu pelancong. Dengan identiti barunya itu dia mengenali Karima dan mereka kemudiannya berkahwin.

Nadia pula gembira menerima balasan email daripada suaminya tanpa menyedari itu muslihat Filzah untuk membalas dendam terhadapnya. Nadia menerima tekanan hebat bila suaminya itu tidak muncul seperti dijanjikan dalam email. Dia jatuh pengsan dan disahkan keguguran.

Dengan bantuan seorang wartawan, Khabar dibawa pulang ke Malaysia dan keluarganya mahu ujian DNA dilakukan ke atasnya bagi membuktikan mereka individu yang sama. Keputusan dikeluarkan hakikat itu diterima walaupun memeritkan.

Sementara itu Khabar yang pulang semula ke Morocco kemalangan dan kepalanya terhantuk dengan kuat. Dia kembali ingat identiti dirinya sebagai Farhan. Ini menimbulkan kesedihan pada Karima kerana suaminya itu pasti ingin kembali kepada Nadia.

Farhan pulang ke Malaysia bersama Karima ingin menemui Nadia. Nadia kecewa mendapat tahu suaminya telah berkahwin lain menerusi gambar disebarkan oleh Filzah. Malah menambah luka di hati Nadia bila Filzah juga menghebohkan Karima hamil. Karima mengambil keputusan pulang ke Casablanca dan melahirkan anak di sana. Dia tidak mahu menjadi penghalang kebahagiaan Farhan dan Nadia. Farhan yang mulanya menentang terpaksa akur dengan permintaan Karima.

Pergerakan Filzah dicurigai Amir dan mula menyiasat ‘kejahatan’ dilakukan isterinya itu. Kemuncaknya bila kesilapan dilakukan Filzah untuk meracuni Nadia telah terkena pada Edham menyebabkan Edham disahkan mengalami terencat akal kerana ubat yang ingin diberikan Filzah kepada Nadia. Terkejut dengan kenyataan itu Filzah pula mengidap sakit jiwa kerana rasa bersalah terhadap anaknya.

Nadia yang sedar kesilapannya mengajak Farhan ke Casablanca melawat Karima yang sudah mahu melahirkan. Namun apakah kesudahannya? Adakah mereka akan bahagia hidup bermadu atau salah seorang daripada mereka berkorban demi kebahagiaan Farhan?

watak Nadia dan Karima

Uqasha Senrose dan Remy Ishak.. watak suami isteri

babak konflik Amir dan Filzah

babak kisah cinta Kapten Farhan dan Nadia

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fakta Tentang Program Puncak ASEAN Yang Perlu Anda Tahu

Kendrick Lamar, Katy Perry & The Weeknd Mendominasi Pencalonan MTV VIDEO MUSIC AWARDS 2017