Menurut BH Online, berita yang tersebar menerusi laman sosial menyatakan kononnya pelawak Mr Os meninggal dunia sebentar tadi adalah tidak benar sama sekali.
“Saya masih hidup. Alhamdulillah. Terima kasih kerana ambil berat mengenai kesihatan saya,” kata Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid.
Pelawak veteran berusia 54 tahun itu baru-baru ini dirawat selama lapan hari di Hospital Selayang selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan pada tonsil dan dibenarkan pulang Sabtu lalu.
Ketika dihubungi wartawan BH Online, Farhana Ab Rahman malam tadi, Os berkata, dia tidak menghebohkan perkara dia dirawat di hospital kerana tidak mahu dianggap menagih simpati, malah keadaan mungkin menjadi seperti menabur pasir di periuk nasi sendiri.
“Saya tidak mahu orang ingat saya sakit dan tidak kuat untuk mencari rezeki yang mana membuatkan orang tidak lagi mengambil saya bekerja. Kudrat saya masih kuat untuk kembali bekerja dan saya pun sudah hampir sembuh sepenuhnya.
“Buat masa ini saya belum lagi mengambil penumpang kerana tidak mahu ada yang takut dengan jahitan di leher saya ini,” katanya.
Bagi Os, jika ada yang simpati, dia minta agar mereka mendoakan kesihatannya, tetapi tidak mahu ada yang salah anggap kerana dia masih lagi kuat untuk mencari rezeki.