in , ,

KFC & Pizza Hut Anjur Acara Jalan Kaki Amal WORLD HUNGER RELIEF

LEBIH 10,000 DIJANGKA SERTAI JALAN KAKI AMAL WORLD HUNGER RELIEF

Lebih daripada 10,000 dijangka akan menyertai acara jalan kaki amal World Hunger Relief (WHR) yang bertemakan “Be The Movement”. Program yang dianjurkan oleh KFC dan Pizza Hut Malaysia ini akan diadakan di Putrajaya pada hari Sabtu, 6 Oktober. Majlis perasmian program ini akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Peserta-peserta yang dijangka menyertai program ini terdiri daripada anggota-anggota pekerja KFC dan Pizza Hut Malaysia, golongan kurang bernasib baik dari pelbagai badan amal tempatan, wakil-wakil media dan orang ramai.

Jalan kaki amal ini diadakan untuk mengumpul dana untuk disumbangkan kepada Program Makanan Dunia (PMD) yang dinaungi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Ianya akan melalui laluan yang akan bermula dan berakhir di perkarangan Istana Kehakiman, Presint 3 di pusat pentadbiran kerajaan itu. Kempen WHR merupakan kerjasama diantara Yum! Brands, Inc. dan PMD.

Ianya merupakan sebahagian daripada sistem promosi menyeluruh ke semua restoran di seluruh dunia yang dianjurkan oleh Yum! Brands, Inc. untuk meningkatkan kesedaran, kesukarelawan dan dana kepada PMD dan agensi-agensi pembasmi kebuluran di seluruh dunia.

Program ini akan bermula pada 1.00 petang dengan karnival mini yang akan berlanjutan hingga lewat petang, dan persembahan konsert yang menampilkan artis-artis tempatan, termasuklah Amy Search, Dafi (AF), Suki (One in a Million), VIP dan Eiffel Studio yang bermula pada pukul 2:30 petang.

Program pada petang itu akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti-selebriti yang turut menyertai dan menyokong acara jalan kaki amal ini seperti Vanidah Imran, Rashidi Ishak, and Zain Saidin. Pelepasan peserta jalan kaki amal itu djangka diadakan pada pukul 6:00 petang.

“Sejak penyertaan dibuka kepada orang ramai untuk pada tahun 2010, sambutan yang diterima sungguh menggalakkan”, kata Puan Rosniza Baharum, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan di Kuala Lumpur hari ini.

“Acara jalan kaki amal yang kali pertama dianjurkan pada 2008 tidak dibuka kepada orang awam tetapi disertai oleh lebih 1,000 anggota pekerja dan keluarga KFC dan Pizza Hut sahaja, manakala pada tahun 2009 lebih 2,000 yang mengambil bahagian, yang seperti tahun sebelumnya juga merupakan acara tertutup”.

“Namun, setelah penyertaan dibuka kepada orang awam, jumlah penyertaan telah melonjak kepada 7,000 orang pada tahun 2010 dan sebanyak 10,000 peserta pula menyertainya pada tahun lalu. Tahun ini sekali lagi kita jangkakan lebih 10,000 penyertaan terutamanya di kalangan orang awam yang telah menjadikan program jalan kaki amal ini sebagai acara tahunan wajib bagi mereka bersama rakan-rakan dan kaum keluarga.”

Yuran penyertaan untuk orang ramai ialah RM25 dan setiap peserta akan menerima baju t mikrofiber ‘Be The Movement’ edisi terhad untuk dipakai pada acara jalan kaki amal itu, selain sijil penyertaan, bandana, kupon makanan dan beg cenderahati. Baju-t akan diedarkan pada hari tersebut mulai jam 1.00 petang hingga 4.00 petang.

Orang ramai boleh mendaftar mulai sekarang hingga tarikh tutup pada 30 September 2012 di empat outlet KFC dan enam outlet Pizza Hut di Lembah Klang atau melalui Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (F.T.A.A.A), Twenty First Century Sports (M) Sdn Bhd atau dengan melayari laman www.hooha.asia.

Outlet-outlet KFC yang mengendalikan penyertaan adalah restoran KFC di Sungei Wang Plaza, KL Sentral, KLCC dan Mid Valley Megamall.

Sementara itu, outlet-outlet Pizza Hut yang mengendalikan penyertaan adalah restoran Pizza Hut di Alamanda Putrajaya, Sunway Pyramid, Subang Parade, IOI Mall Puchong, One Utama dan Kajang.

“Acara jalan kaki amal ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dana untuk WHR dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai situasi semasa yang dihadapi di negara-negara mundur yang menghadapi kesukaran untuk menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya dan menghapuskan kebuluran,” kata beliau.

Sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan dana, pada tahun ini KFC juga mengadakan promosi World Hunger Meal, manakala Pizza Hut pula mengadakan promosi Hut’s Power Meal. PHD juga tidak ketinggalan mengadakan promosi World Hunger Speedy Combos dan Double Deals.

Semua hidangan yang dijual sempena promosi ini dikenakan bayaran tambahan sebanyak 50 sen untuk KFC dan 60 sen untuk Pizza Hut dan PHD. Dana keseluruhan akan disalurkan kepada tabungan WHR.

Sebanyak RM6.43 juta telah berjaya dikumpulkan sejak KFC dan Pizza Hut memulakan pengumpulan dana WHR tahun 2007 hingga tahun lalu.

Kutipan dana telah disampaikan kepada PMD untuk disalurkan kepada usaha-usaha membasmi kebuluran di negara-negara mundur di seluruh dunia dan sebahagiannya juga telah diagihkan kepada badan-badan amal tempatan.

Dafi
Dafi

Amy Search

Amy Search

Suki 2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Ikatan Lakonan Iqram Dinzly dan Ayu Raudah

Senarai Lokasi Ujibakat Idola Kecil Musim Ke-5