Ini ekoran kerajaan mengumumkan PKPB semula di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrayaja bermula 14 sehingga 27 Oktober ini, bagi mengekang kes pandemik COVID-19 yang semakin meningkat.
“Pelaksanaan semula PKPB ni ada pro dan kontra. Dari segi ekonomi, sudah tentu ia terjejas. Namun, apabila dipandang dari sudut keselamatan rakyat, sudah tentu PKPB ini satu langkah yang bagus.
“Sebagai penyanyi sudah tentu keadaan ini memberi kesan kepada saya dan juga penyanyi-penyanyi lain. Sangat terkesan!
“Iyalah, tiada undangan nyanyian kerana kita tidak boleh berkumpul dalam satu majlis hiburan,”
– Jamal Abdillah
Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’, begitulah yang diamalkan oleh Jamal Abdillah.
Menurutnya, sebagai artis persediaan awal perlu dilakukan kerana tiada siapa boleh meramal apa yang akan berlaku pada masa depan.
“Sekarang artis kena sentiasa bersiap sedia awal dengan apa sahaja kemungkinan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku.
“Bidang hiburan ini bermusim. Kadang-kadang banyak tawaran menyanyi, adakalanya tak ada langsung.
“Saya sendiri mengusahakan ternakan ikan Arowana dan mengeksport ke luar negara. Itu pun terkesan juga kerana aktiviti mengeksport ini terbatas.
“Jadi saya berhadapan dengan masalah eksport kerana kita masih dalam tempoh pengawalan Covid-19,”
– Jamal Abdillah
Beliau juga turut menjalankan perniagaan ternakan ikan perhiasan Arowana di Bukit Merah, Lake Town, Perak untuk dieksport ke luar negara seperti Jepun, Taiwan, Hong Kong, China, Kanada dan banyak lagi.
Selain itu, Jamal juga terlibat dalam perniagaan pengurusan pasir.
Kena Bijak Cari Peluang
Berbekalkan pengalaman yang ada, Jamal menyarankan agar golongan artis dan orang awam untuk memulakan bisnes, lebih-lebih lagi dalam tempoh PKPB ini.
“Sama ada artis atau bukan, kita kena bijak cari peluang. Dalam tempoh ini, anda boleh cuba bisnes kerana saya lihat banyak peluang sebenarnya. Hanya tunggu kita usaha saja.
“Kalau selama ini kita selalu guna gajet untuk main game, jadi sekarang gunakanlah ia untuk promosi bisnes di laman sosial atau whatsap group.
“Misalnya kita boleh mulakan bisnes makanan seperti jual nasi lemak, mi goreng, kuih muih dan sebagainya.
“Cuba fokus kepada penduduk dalam satu taman atau kawasan yang kita tinggal. Kalau 10 orang mahu beli, itu sudah dikira permulaan yang bagus. Ada juga pendapatan di situ.
“Tidak dinafikan, pandemik COVID-19 ini banyak memberi kesan kepada hidup kita terutamanya dari segi ekonomi. Namun, kita tidak boleh putus asa.
“Sebenarnya banyak cara untuk kita jana pendapatan dalam tempoh PKPB ini,” jelas Jamal lagi yang popular dengan lagu Azura, Sepi Seorang Perindu, Kekasih Awal Dan Akhir serta banyak lagi.
– – Jamal Abdillah
*Sumber: Wilayahku