Terkini, hasil siasatan pihak polis telah berjaya menemukan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh yang dikesan bersembunyi di sebuah residensi di sebuah pusat peranginan di Pahang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihak mereka memulakan risikan sejak 12 Oktober lalu. Hasil pemerhatian mendapati Alvin sering bersembunyi dari satu ke satu lokasi lain.
Namun, suspek yang juga koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China itu berjaya ditahan pagi tadi bersama seorang wanita warga China dipercayai teman wanitanya.
“Alvin ditahan pada jam 1.20 pagi bersama wanita warga asing dipercayai kekasihnya oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di luar Lembah Klang.
“Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 117,”
– Datuk Huzir Mohamed
Pihak polis masih meneruskan siasatan berikutan dakwaan suspek yang sebelum ini dibantu oleh beberapa pihak untuk melarikan diri dan sering berpindah untuk elak dari diburu polis.
*Sumber: Berita Harian