Peguam dilantik Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin dalam kenyataan dikeluarkan berkata, semasa pengurusan kes yang dijalankan secara eReview kelmarin, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan pihaknya selaku peguam plaintif iaitu Siti Nordiana untuk memfailkan afidavit penyampaian sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kelima-lima defendan itu.
“Bagaimanapun, kelima-lima defendan terbabit masih tidak diwakili oleh peguam serta tiada kehadiran dan pernyataan pembelaan yang difailkan oleh defendan-defendan setelah writ saman dan pernyataan tuntutan diserahkan kepada kesemua defendan.
“Sehubungan itu, tarikh akhir untuk kelima-lima defendan memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaan adalah pada 17 Ogos ini.
“Mahkamah selanjutnya menetapkan 23 Ogos ini, pada pada jam 9 pagi sebagai tarikh pengurusan kes (eReview) yang baru dan untuk memaklumkan defendan-defendan mengenai tarikh baru pengurusan kes tersebut,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 37, memfailkan saman ke atas lima individu itu atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial menerusi sesi siarang langsung di Instagram.
Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen di sini, dan menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, sebagai defendan.
Menerusi pernyataan tuntutan, Nana mendakwa pada 20 Julai lalu kira-kira 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Nana turut mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
“Siaran langsung berdurasi lebih kurang satu jam 28 minit itu telah ditonton oleh pengikut defendan-defendan dan orang ramai yang mengikutinya,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Nana mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun Youtube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.
Plantif mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun Youtube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.
Nana juga mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, dia melalui peguamnya menyerahkan notis tuntutan bertarikh 26 Julai lalu melalui serahan tangan dan emel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.
Sehubungan itu, Nana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.
Tidak terkecuali, Nana turut menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Mahkamah Arah Peguam Nana Fail Afidavit Bukti Serahan Writ Saman
Mahkamah Sesyen Sivil di sini mengarahkan peguam plaintif yang mewakili penyanyi Siti Nordiana Alias atau Nana memfailkan afidavit penyampaian sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap lima defendan termasuk Lan Solo dan Syura yang disaman sebanyak RM2.5 juta atas dakwaan memfitnah.
Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abang Azlan, mahkamah mengarahkan demikian selepas kelima-lima defendan iaitu Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas Razidah Ahmad Senusi, 42 masih tidak diwakili peguam selain tiada kehadiran dan pernyataan pembelaan difailkan.
Peguam itu berkata tarikh akhir untuk kelima-lima defendan memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaan sebelum atau pada 17 Ogos ini.
“Mahkamah selanjutnya menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya,” kata Abang Azlan.
Terdahulu pengurusan kes tersebut telah dibuat pada Isnin lalu secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Zulqarnain Hassan.
Pada 3 Ogos lalu Kosmo! melaporkan pertelingkahan penyanyi Siti Nordiana bersama lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron kini memasuki episod baharu apabila selebrti tersebut menfailkan saman berjumlah RM2.5 juta.
Siti Nordiana, 37, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Sivil di sini, dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas Aida G.
Dalam saman tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.
Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.
Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah. – K! ONLINE