Keriangan Pantai dan Lautan di Thistle Port Dickson Resort
oleh Shah Shamshiri
Di tepi pantai yang indah dan tidak berapa jauh dari kota Kuala Lumpur, tersembunyi sebuah tempat yang sesuai buat bergembira dan menenangkan fikiran. Terletak di bandar Port Dickson, Thistle Port Dickson Resort tersenarai sebagai salah satu hotel yang paling popular dan berprestij di kawasan ini. Dengan kedudukannya di bahagian paling hujung dan paling private Teluk Kemang, ia menepati ajnas citarasa para pengunjung.
Dengan 251 bilik-bilik indah, hotel ini merupakan hotel pertama di Asia di bawah jenama Thistle yang berasal dari United Kingdom. Dilengkapi dengan kolam renang yang besar, gelanggang tenis, serta tiga restoran dan dua buah bar, Thistle memenuhi kehendak setiap pengunjungnya yang ingin berehat di tepi pantai sambil menikmati kemewahan hidup yang lain. Bilik-biliknya yang berkonsepkan modern chic setanding dengan hotel-hotel ternama sekitar Malaysia.
Mempertaruhkan Glass sebagai restoran mewah utama mereka yang menyajikan masakan Mediterranean Itali, Chinoise buat hidangan Cina dan Fresh bagi menu tempatan serta antarabangsa, tidak hairanlah sekiranya ada pengunjung yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, Melaka serta Singapura semata-mata untuk menjamu selera mereka di sini.
Apatah lagi dengan pemandangan indah di tepi pantai yang lebih peribadi dan tersendiri khas buat tamu hotel, ia merupakan destinasi paling tepat buat mereka yang berkeluarga ataupun yang ingin berdua.
Dengan kawasan yang diasingkan dan agak ‘tersembunyi’ dari dunia luar yang lebih bising serta sibuk dengan hingar-bingar kota, Thistle PD juga sesuai buat mereka yang ingin mengadakan acara-acara serta majlis-majlis tertentu. Ini termasuklah mesyuarat-mesyuarat penting, seminar-seminar khas, majlis perkahwinan, sesi latihan korporat dan macam-macam lagi.
Satu lagi kelebihan Thistle Port Dickson Resort adalah kedudukannya yang tidak jauh daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang serta bandaraya penting yang lain seperti Melaka, Bandaraya Bersejarah dan juga Kuala Lumpur sendiri. Pendek kata, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini dan di antaranya ialah sukan air seperti jetski, renang, berlayar dan macam-macam lagi.
Jadi jika anda ingin pergi merehatkan minda serta bercuti dan tidak mahu pergi terlalu jauh dari ibukota, singgahlah ke Thistle Port Dickson Resort. Perjalanannya sebentar sahaja dan anda tidak perlu bersusah-payah meredahi hutan belantara ataupun kesesakan lalu-lintas yang menggusarkan!