DALAM kehangatan menjelang konsert pertama program Gegar Vaganza 4 (GV4), ada satu ‘tragedi’ yang terjadi sebelum konsert itu bermula.
Pengacara GV4, Nabil Ahmad dikatakan telah kehilangan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire miliknya kira-kira pukul 2:30 petang, semalam, sebelum konsert tersebut bermula.
Menurut Nabil, dia sangat terkejut apabila mendapati keretanya tiada di tempat letak kereta.
“Kereta saya hilang di Taman Tun Dr. Ismail kira-kira jam 1 petang. Sebaik sahaja saya mahu ke tempat letak kereta pada jam 2.30 petang, saya terkejut mendapati kereta saya sudah tiada.
“Ingatkan tersalah letak namun selepas puas mencari baru saya pasti telah hilang. Selepas itu saya terus membuat laporan di balai polis TTDI,” katanya ketika ditemui pada program GV4 di Dewan Sri Putra, malam tadi oleh Astro Gempak.
Menurut bapa kepada dua orang itu, ketika kejadian, dia sedang menghadiri acara konsert anjuran tadika anak sulungnya, Naera Mikayla.
Kejadian seumpama itu merupakan kejadian kedua yang menimpa dirinya sejak bergelar selebriti.
Kira-kira tiga tahun lalu, kereta Mitsubishi Lancer miliknya juga pernah dipecahkan oleh penyamun dan beberapa barang peribadinya turut dicuri serta dia telah mengalami kerugian.
Mungkin apa yang terjadi ini ada hikmahnya untuk kita beringat walaupun kawasan itu kelihatan selamat, namun perkara yang tidak diingini tetap boleh berlaku.
Manusia zaman sekarang semua nak buat kerja mudah. Rompak, samun dan banyak lagi jenayah yang dipilih untuk keuntungan diri sendiri tanpa memikirkan kesannya kepada tuan punya barang yang dicuri.
Harapnya semua orang dapat berhati-hati ketika berada di laur rumah lepas ni. Takut-takut kita tak perasan yang sebenarnya ada orang yang sedang memerhatikan kita dari jauh dan hanya menunggu peluang sahaja untuk serang.