Terbaharu, konsert yang sepatutnya berlangsung pada 12 Disember ini di Stadium Malawati, Shah Alam ditunda ke 13 Februari tahun depan di lokasi yang sama.
Sebelum itu, ia sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu di The Bee, Publika. Bagaimanapun, penganjur Imaginex & HS Shazlicious menundanya ke 12 Disember termasuk menukar lokasi ke Stadium Malawati berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Konsert yang pada mulanya dinamakan Konsert Apologia Search & Awie ditukar kepada Konsert Cinta Buatan Malaysia. Terbaharu, ia ditukar lagi dan kini dinamakan Projek Bikin Wilayah 2021.
Awie ketika dihubungi berkata, mereka akur dengan keputusan itu, namun jauh di sudut hatinya dia tetap sedih dan kecewa.
“Saya harap cukuplah dua kali tarikh konsert ini ditunda. Takkan ada lagi tarikh baharu yang lain pula selepas 13 Februari itu disebabkan pandemik ini. Tolong beri kelonggaran kepada kami, penggiat seni ini untuk terus berkarya. Ini punca rezeki kami, jadi sementara masih boleh sampaikan hasil kerja itu, izinkanlah.
“Jangan hanya apabila pilihan raya dan politik boleh pula berkumpul, tetapi untuk orang lain seperti kami penggiat seni, tidak boleh pula. Kami pun tahu situasi Covid-19 ini,” katanya.
Menurut Awie, penggiat seni seperti penyanyi dan pemuzik pun perlukan kerja. Jika terus ditunda lagi penganjuran konsert berkenaan, mereka nak makan apa.
“Anggota Search pun sudah berapa lama tak buat konsert. Jadi, beri kelonggaran untuk kami nak berkarya bagi meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga.
“Dengan satu konsert yang kami buat ini pun, bukan boleh jadi kaya dan hidup mewah. Tapi cukup bagi mendapatkan pendapatan dan kami hanya nak bekerja. Peminat juga memberi sokongan dengan pembelian tiket.
“Kasihan juga kepada peminat kami yang sudah membeli tiket. Penat mereka asyik menunggu dan menunggu kerana saya yakin mereka pun ada komitmen lain. Umpama nanti yang dikejar tak dapat, dikendong berciciran,” katanya.
Awie berharap semoga apa yang diluahkannya mendapat perhatian pihak berkaitan supaya konsert itu dapat dianjurkan.
Katanya, usaha pencegahan dan keselamatan untuk penonton ke stadium tetap diutamakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam pada itu, tiket yang sudah dibeli peminat masih sah digunakan sehingga hari konsert berlangsung pada 13 Februari tahun depan.
Tiket berharga RM399 (VIP), RM299, RM199 dan RM99. Setiap pembelian tiket VIP layak mendapat sehelai kemeja-T, cakera padat dan poster.
*Sumber: Harian Metro