Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata segala statistik mengenai bilangan kes positif COVID-19 dikongsi saban hari dengan pecahan kategori tertentu supaya rakyat mengetahui situasi sebenar.
“Kita sebut semua yang kita tahu… kita tak simpan dan sorok. Saya yakin sistem kesihatan kita masih mampu menangani kes COVID-19 buat masa ini dan disebabkan itu, banyak negeri dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana kemampuan hospital di negeri berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program e-Tuisyen Indera Mahkota secara dalam talian pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sedang giat dijalankan sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di negara ini.
“Proses pemberian vaksin berjalan lancar setakat ini dengan lebih 400,000 dos vaksin telah diberikan selama beberapa hari ini. Ia angka mustahak, dengan ini kita percaya sistem kesihatan mampu menangani kes COVID-19.
“Malah kalau lihat laporan media luar negara juga ada menyebut proses vaksinasi Malaysia adalah antara terpantas di dunia, kita berada sebaris dengan negara maju yang lain,” katanya.