Filem Argo arahan dan lakonan Ben Affleck memenangi Filem Terbaik anugerah Golden Globe ke 70 pada kemuncak acara pra-Oscar Hollywood yang diadakan di sini pada Ahad (waktu tempatan).
Affleck turut memenangi Pengarah Terbaik untuk filem itu.
Karya berkenaan berkisar tentang misi ejen perisikan Amerika Syarikat untuk membebaskan enam diplomat negara itu yang mendapat perlindungan di kediaman duta Kanada di Tehran, Iran semasa krisis pada tahun 1979.
Filem Steven Spielberg “Lincoln” hanya mampu membawa pulang satu anugerah sahaja iaitu melalui kategori Pelakon Lelaki Terbaik – Drama (Daniel Day-Lewis) walaupun mendapat pencalonan terbanyak iaitu dalam tujuh kategori.
Claire Danes (kiri) dan Damian Lewis masing-masing memenangi Pelakon Wanita dan Pelakon Lelaki terbaik bagi drama Homeland pada Anugerah Gloden Globe yang berlangsung di Los Angeles, pada Ahad.
Kegagalan Spielberg merangkul anugerah filem terbaik dan beberapa kategori utama lagi telah mengejutkan banyak pihak dan pemerhati filem Hollywood.
Sebaliknya, Affleck telah membuat kejutan besar dengan merangkul dua anugerah utama termasuk pengarah terbaik.
Ia adalah kemenangan berganda pertama untuk Affleck dalam anugerah edisi ke-70 ini.
Affleck dengan segera memberi penghargaan di atas kemenangannya itu kepada para diplomat dan juga ejen rahsia yang telah berkorban atas nama negara termasuklah karakter sebenar yang dimainkannya menerusi filem tersebut.
Kata Affleck:
“Anugerah ini adalah mengenai Tony Mendez. Dia adalah hero Amerika yang sebenar termasuklah bala tentera Amerika yang telah berkorban dan berkhidmat di luar negara.”
Bagaimanapun filem itu turut menerima kritikan yang tidak kurang hebatnya kerana Affleck dikatakan telah mencampur adukkan fakta dengan karya fiksyen khususnya tentang peranan CIA dalam membebaskan para diplomat Amerika yang dijadikan tebusan dalam insiden sebenar itu.
Namun begitu kemenangan “Argo” dilihat sebagai menebus maruah filem tersebut apabila ia tidak disenarai pendekkan untuk pencalonan pengarah terbaik dalam Anugerah Oskar yang akan berlangsung pada 24 Februari depan.
Sementara itu bagi kategori drama pula, Homeland dipilih sebagai drama terbaik anugerah berkenaan pada kali ini.
Homeland turut mencipta kejayaan apabila dua pelakonnya iaitu Damian Lewis dan Claire Danes masing-masing diumumkan sebagai aktor dan aktres terbaik.
Berikut ini senarai penuh pemenang Golden Globe 2013.
KATEGORI FILEM:
1. Filem Terbaik : Argo
2. Filem Komedi/Muzikal Terbaik: Les Miserables
3. Pengarah Terbaik: Ben Affleck – Filem Argo
4. Aktor Terbaik Drama: Daniel Day-Lewis – Lincoln
5. Aktres Terbaik Drama: Jessica Chastain – Zero Dark Thirty
6. Aktor Terbaik Muzikal/Komedi: Hugh Jackman – Les Miserables
7. Aktres Terbaik Muzikal/Komedi: Jennifer Lawrence – Silver Linings Playbook
8. Pelakon Pembantu Terbaik Lelaki: Christoph Waltz – Django Unchained
9. Pelakon Pembantu Terbaik Wanita: Anne Hathaway – Les Miserables
10. Filem Luar Terbaik: Amour
11. Lakon Layar Terbaik: Django Unchained
12. Skor Asal Terbaik: Life of Pi
13. Animasi Terbaik: Brave
KATEGORI DRAMA TV:
1. Drama Siri Terbaik: Homeland
2. Aktres Terbaik: Claire Danes – Homeland
3. Aktor Terbaik: Damian Lewis : Homeland
4. Drama Muzikal/Komedi Bersiri Terbaik: Girls
5. Pelakon Wanita Muzikal/Komedi Terbaik: Lena Dunham – Girls
6. Pelakon Lelaki Muzikal/Komedi Terbaik: Don Cheadle – House of Lies
7. Mini Siri/Filem Terbaik: Game Change
8. Aktres Mini Siri/Filem Terbaik: Julianne Moore – Game Change
9. Aktor Mini Siri/Filem Terbaik: Kevin Costner – Hatfields & McCoys
10. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Maggie Smith – Downton Abbey
11. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ed Harris – Game Change – AFP