Pertemuan antara dua beranak itu menurut Malaysiakini yang memetik The Daily Star berakhir dengan tangisan kegembiraan ‘yang tidak dapat dijelaskan’ antara kedua-duanya selepas beliau mendarat di Lapangan Antarabangsa Dhaka kira-kira jam 1 pagi tadi.
Ketibaan Rayhan itu disambut bapanya yang datang dari kampung halaman mereka di Narayanganj untuk menunggu di lapangan terbang selepas anaknya itu diusir keluar dari Malaysia pada malam semalam.
“Kami dengan teruja menunggu anak kami pulang ke pangkuan.
“Dia di sini sekarang. Kita masih dalam bulan lebaran (Aidiladha),â€
– Bapa Rayhan, Shah Alam.
Rayhan sebelum ini ditahan di Malaysia bagi membantu siasatan mengenai komen yang diberikannya dalam dokumentari bertajuk Locked Up In Malaysia’s Lockdown yang diterbitkan Al Jazeera.
Komen yang diberikannya dalam wawancara itu sebelum ini menimbulkan kemarahan dan reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Rayhan Budak Baik
Bukan saja bapanya yang menitiskan air mata, malah Rayhan juga dikatakan tidak mampu menjelaskan kegembiraan setibanya beliau di negara asalnya itu awal pagi tadi.
“Saya tidak dapat menjelaskan kegembiraan ini. Berapa kali saya pergi dan pulang dalam enam tahun ini. Kali ini ia terasa berbeza.
“Bangladesh saya, tanah air saya, ibu dan bapa saya … Saya tidak dapat menjelaskan perasaan ini kepada sesiapa pun.
“Terima kasih kepada anda semua, kepada semua yang berada di sisi saya di dalam dan luar negara,â€
– Rayhan
Berasal dari Bandar Upazila di Narayanganj, Rayhan dilaporkan sebagai seorang ‘budak baik’ di kampung halamannya.
Melalui beberapa temu bual yang dilakukan akhbar itu dengan penduduk tempatan, mereka menceritakan bagaimana Rayhan sebelum ini sentiasa membantu pelajar di sana membeli buku dan memberikan bantuan kewangan.
Selain itu juga, Rayhan dilaporkan merupakan salah seorang yang lantang bersuara menentang penggunaan dadah di kawasan kampung halamannya sebelum ini.
Rayhan sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen dan masyarakat selepas mengkritik layanan terhadap warga asing ketika penularan pandemik COVID-19 di negara ini.