[dropcap]S[/dropcap]eharusnya empat gergasi rock Asia iaitu Loudness (Jepun), Search (Malaysia), Rusty Blade (Singapura) dan Slank (Indonesia) akan bergabung di atas satu pentas yang sama untuk menggegarkan industri rock tanahair di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.
Konsert yang diberi nama Thunder In The East 2013 ini bakal menjadi realiti buat para peminat muzik rock yang sekian lama menantikan empat band hebat ini beraksi di atas satu pentas yang sama. Namun segala impian tersebut mungkin terpaksa ditangguhkan buat sementara. Segalanya adalah berpunca daripada masalah jerebu yang melanda negara kita ketika ini.
Konsert yang dibawakan khas oleh Clockwork Events dengan kerjasama dari Puzzleworks dan Inderacorp Ventures Sdn Bhd terpaksa ditunda namun begitu “Thunder In The East” akan terus dirialisasikan bagi memenuhi kehendak peminat rock tempatan yang dahagakan sebuah konsert bertenaga apatah lagi ianya seakan ‘The Big Four” yang menggabungkan kumpulan ternama antarabangsa iaitu Slayer, Metallica, Anthrax dan Megadeth. Kekuatan dan kelebihan setiap band ini adalah faktor menjadikan konsert ini sebagai konsert yang wajib ditonton sebagai membuktikan anda merupakan rockers sejati.
Semasa di sidang media yang diadakan di Wonderama, Kuala Lumpur pada 25 JunShamir selaku jurucakap Clockwork Event berkata:
“Pihak kami terpaksa akur dengan keadaan cuaca yang melanda negara kita ketika ini, apatah lagi ianya berada di dalam situasi yang cukup ‘tidak sihat’. Lagipun ianya melibatkan kesihatan pemuzik yang rata-rata sudah melangkaui usia ‘muda’ dan demi memastikan kesihatan peminat untuk berada di tahap yang baik.”
“Sebelum ini Loudness juga ada menghubungi kami dan menyatakan kekesalan dengan situasi yang melanda Malaysia malah mereka juga cukup memahami perasaan peminat yang berkobar-kobar untuk menyaksikan persembahan mereka, namun kesihatan lebih penting dari segala-galanya.”
“Saya mewakili anggota Search cukup terharu di atas sokongan para peminat namun kita terpaksa terima Qada dan Qadar dari Allah kerana sesungguhnya DIA lebih mengetahui dan mungkin ada hikmahnya. Dikesempatan yang ada, kami akan berlatih dengan lebih giat lagi demi memenuhi citarasa peminat rock yang akan hadir ke konsert ini nanti. Thunder In The East akan terus di adakan mengikut perancangan awal ianya hanya ditunda. Bagi peminat yang sudah memiliki tiket konsert anda tidak perlu risau kerana ianya masih boleh digunakan dan pihak kami akan memikirkan ‘sesuatu’ untuk diberikan kepada peminat yang sudah membeli tiket sebagai tanda ingatan kami terhadap mereka.”
Harga tiket bermula dari RM888 (VVIP Platinum), RM398 (VIP Gold), RM258 (VIP Silver) dan RM138 (Tiket biasa). Tiket bagi dua kategori ini hanya dicetak terhad iaitu tiket VIP Platinum sebanyak 400 keping manakala VIP Gold sebanyak 1,000 keping. Tiket boleh dibeli di www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-78807999. Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert ini di www.clockwork.com.my atau di twitter @ThunderInEastMY; @clockwork _crew atau di Instagram @TITE2013.