KISAH pertelingkahan antara pelakon, Nabil Ahmad dengan cef selebriti, Prof. Datuk Chef Wan masih lagi hangat menjadi bualan ramai.
Ini melibatkan isu tindakan cef tersebut secara terbuka menegur cara pengacaraan pelakon berkenaan yang dianggap biadab atau kurang ajar.
Semalam, pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad telah memberi amaran kepada Chef Wan agar berhenti daripada berterusan memuat naik status berbaur hasutan di laman Instagram.
Ia dikhuatiri boleh mengundang boleh menjejaskan reputasinya sebagai seorang selebriti.
“Sebagai seorang selebriti, Nabil sepatutnya lebih matang dan tidak mudah melatah seperti ini.
“Kalau Nabil boleh bergurau dengan orang tanpa memikirkan hati dan perasaan mereka, mengapa dia tidak boleh ditegur atas dasar profesionalisme?” katanya dilapor sebuah portal hiburan.
Tambahnya lagi, sekiranya Nabil memasang hasrat untuk melibatkan undang-undang dalam perkara ini, beliau sama sekali tidak gentar dan begitu yakin dirinya menyatakan hal yang benar.
“Saya cakap benda yang betul, mewakili sekumpulan orang yang tidak suka pada cara Nabil bergurau dengan agak melampaui batas di pentas Gegar Vaganza (GV).
“Jika dia kata apa yang dilakukan atas dasar kerja, sila gunakan logik akal agar ia berpada-pada,” tambahnya.
Terdahulu, Chef Wan pernah menegur Nabil kerana beranggapan lelaki itu seolah-olah keterlaluan sehingga membataskan percakapan juri untuk memberi komen.
Selepas itu, cef selebriti ini sekali lagi menegur Nabil menerusi satu posting di Instagram miliknya dengan mendakwa pengacara itu adalah punca perosak bangsa.
Namun, perkara ini telah ‘dibidas’ oleh Nabil menerusi satu rakaman yang dimuat naik sebagai komen balas terhadap kenyataan yang dilempar oleh Chef Wan.
Tidak terhenti di situ sahaja, malah isteri kepada pengacara berkenaan, Zira Ayub dikatakan turut terkena tempias berkaitan kontroversi yang melanda si suaminya itu.