Anak jati Ipoh, Ken Ariff merupakan nama baru dalam industri seni tanah air. Mempunyai minat yang mendalam dalam bidang nyanyian dan penulisan lagu, beliau memulakan langkah karier seninya dengan mempelajari vokal dengan Cikgu Delly, seorang guru vokal yang sangat terkenal dalam kalangan penyanyi tanah air.
Dengan kebolehannya yang petah berbahasa Jepun, Ken Ariff pernah melanjutkan pelajarannya di University of Hyogo, Japan di bawah tajaan sepenuhnya biasiswa Yayasan Pelajaran MARA (YPM), dan bekerja sebagai Jurutera Mekanikal.
Namun begitu, beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan kembali ke Malaysia untuk mengejar impiannya menjadi seorang penyanyi dan penulis lagu.
Walaupun tidak mendapat pendidikan secara formal dalam bidang muzik, Ken Ariff sudah mula menimba ilmu muzik sejak dari zaman persekolahannya di sekolah berasrama penuh Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh dengan menyertai pasukan Wind Orchestra bermain alat muzik Euphonium.
Selain daripda karier seninya, Ken Ariff juga merupakan tenaga pengajar untuk Indoor Spin Cycle di Fly Project dan juga Tabata di Anytime Fitness. Baginya, bidang kecergasan ini merupakan alternatif baik untuk menyokong karier seninya untuk jangka masa panjang.
Penyanyi, Penulis Lagu & Komposer Single Terbaru ‘Bagai Bidadari’
Pencapaian Terkini
Siapa sangka berbekalkan minat dan azam untuk menempah nama dalam industri seni, Ken Ariff yang tidak bernaung dengan mana-mana label setakat ini, mengambil keputusan untuk membuka langkah pertamanya dengan membuat showcase sulungnya sendiri bertempat di DPAC, Damansara pada 15 November 2023 yang lalu.
Untuk showcase pada kali ini, 11 buah lagu dengan genre yang berbeza seperti pop, balada, broadway dan juga tradisional dipilih bagi mempamerkan sisi yang berbeza dalam penulisan lagu beliau. 6 daripada lagu tersebut telah dinyanyikan oleh 3 orang artis baru, iaitu Hady Huv, Jaja Ismail dan juga Zainal Alieff. Mereka ini telah memenangi pertandingan seperti DIGI Suara Next Level, I Can See Your Voice dan juga All Together Now.
Showcase yang diberi nama, Ken Ariff – Di Persada Pena itu dihadiri rakan artis seperti Sherry Ibrahim, Kuniey Muzani, Farez Adnan, Amsyar Lee dan juga Farhan Azizan, rakan media seperti Budiey, DJ Anne (KLFM), Mikhail Razman (Warner Music), famili dan rakan-rakan. Pengarah Muzik merangkap konduktor, saudara Ahmad Aliff telah dipertanggungjawabkan untuk menggubah lagu-lagu pada malam itu.
Antara barisan ahli muzik terkenal pada malam itu adalah Tam Cobain, lead guitarist kumpulan Alif Satar and The Locos, Kabung (Basis) dan juga Simmy (Pianist/Music Producer) yang mana merupakan tulang belakang untuk iringan muzik pada malam itu.
Bagai Bidadari merupakan single terbaru daripada Ken Ariff bergenrekan balada berkisahkan tentang cinta pandang pertama. Lagu yang ditulis berdasarkan pengalaman percintaan beliau sendiri ini sebenarnya telah ditulis dan dihasilkan pada tahun 2021 namun dikeluarkan pada hari yang sama showcase beliau dilansungkan. Karier penulisan Ken Ariff diteruskan lagi dengan projek terbaru beliau iaitu single untuk Sherry Ibrahim dengan harapan lagu ini membuka peluang untuk beliau menjadi komposer bagi artis-artis lain juga.
Selain daripada Bagai Bidadari, Ken Ariff juga pernah mengeluarkan lagu raya berjudul ‘Raya Ya Ya’ yang membawa elemen timur tengah bergenrekan world music. Lagu ini merupakan eksperimen pertama beliau dalam bidang nyanyian dan penulisan lagu.
Kedua-dua lagu ini telah dimuat naik ke semua platform digital antaranya adalah Spotify, iTunes juga Youtube Music manakala video muziknya di Youtube.