in , , ,

Kemunculan Ezlynn Dalam Drama Bersiri 30 JUZUK CINTA

Sedang bersiaran menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 21 Oktober lalu, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 3.05 petang di TV1, drama bersiri dengan tajuk “30 Juzuk Cinta” menyaksikan kemunculan penyanyi Ezlynn melakonkan watak antagonis sebagai Sabrina.

Menariknya drama arahan dan lakonan Zul Huzaimy sebagai Rifqi ini berlatarkan keindahan negara Bosnia Herzagovina dan turut menjalani penggambaran di Malaysia. 26 episod drama yang turut menampilkan pelakon Tunku Hanis sebagai Sara, Josiah Hogan (Obelia), Betty Banafe, Ika Nabila dan Sheila Mambo ini berkongsi memaparkan konflik kekeluargaan dan bila mana cinta terhalang kerana perbezaan budaya dan agama. Turut diselitkan usaha menjejak keluarga kandung setelah bertahun terpisah. 

Ia mengisahkan konflik didepani watak pemuda bernama Rifqi. Atas usaha kerasnya dia diterima melanjutkan pengajian ke Bosnia Herzagovina. Sepanjang peninggalannya dia mengamanahkan tanggungjawab menjaga ibunya, Mak Yah kepada sahabat baiknya Yana. Di Bosnia, Rifqi berkawan baik dengan Luqman, Richard, Sabrina, Obelia, dan Sara, seorang gadis Bosnia. Rifqi, Sabrina dan Luqman banyak menyertai misi kemanusiaan semasa di sana.

poster 30 JUZUK CINTA

Satu hari Rifqi pulang ke kampung apabila mendapat tahu ibunya sakit. Yana yang menyimpan perasaan terhadap Rifqi gembira menyambut kepulangannya.  Namun Rifqi kembali semula ke Bosnia menyambung pengajiannya. Sara berterus-terang kepada Sabrina dia menyenangi perwatakan Rifqi. Apatahlagi Rifqi pernah menyelamatkannya daripada diserang penjahat. Situasi ini menimbulkan cemburu Sabrina.   

Di Bosnia, Sabrina secara sambilan menjadi penyanyi kelab malam untuk mengirimkan wang kepada ibu dan adiknya di kampung. Pada masa sama dia bersama-sama Rifqi dan Luqman giat menjalankan misi kemanusiaan. Sara juga turut serta yang menimbulkan kemarahan Obelia, pemuda yang menyukainya. Kemarahan Obelia bertambah bila melihat hubungan Sara dan Rifqi bertambah rapat.

Josiah Hogan watak Obelia

Sara mula menyukai keperibadian Rifqi dan dalam masa sama tertarik dengan agama Islam. Dia mula mendekati agama Islam melalui ‘Rifqi’. Rifqi pula gembira Sara berminat mendalami Islam dan belajar al-Quran. Situasi itu semakin menambah rasa marah Obelia. Ia juga membimbangkan Mr. Smith dan Puan Laura kerana takut anaknya menukar agama. Obelia mendesak Mr. Smith mengahwinkannya dengan Sara. Namun dibantah keras oleh Sara.

Sara semakin minat dengan keindahan Islam. Sabrina semakin cemburu dan bertindak menabur fitnah yang akhirnya membuatkan Rifqi dibuang daripada pengajian. Rifqi yang kecewa pulang ke Malaysia. Sara percaya Rifqi baik dan tidak melakukan kesalahan tersebut. Yana gembira pulang.

Perasaan rindu dan ingin mendalami Islam membawa Sara ke Malaysia. Tanpa disedari jejaknya diketahui Obelia yang mengikutnya secara senyap. Rifqi mengusahakan ternakan kambing di kampungnya dengan sokongan ibunya dan Yana. Namun segalanya berubah dengan kemunculan Sara. MaK Yah dan Rifqi teruja dengan kehadiran Sara yang mahu mendalami Islam. Yana rasa terpinggir.

Namun Sara kemudiannya kembali ke Bosnia melihat ibunya yang sakit. Sabrina mengambil peluang untuk memburuk-burukkan Sara dan menfitnahnya sebagai punca Rifqi dibuang pengajian. Mak Yah kecewa mengetahui cerita tersebut namun tetap percaya anaknya tidak bersalah. 

Ezlynn watak Sabrina

Sara yang didesak berkahwin dengan Obelia membawa diri ke Malaysia dan mengucap syahadah. Ketika itu juga dia begitu kecewa mengetahui dirinya hanyalah anak angkat keluarga Smith. Mak Yah dan Rifqi banyak membantunya sebagai saudara baru. Sementara itu Mr. Smith meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Kejadian itu membongkar kecurangan Mr. Smith yang mempunyai wanita simpanan. Laura kecewa dengan berita itu.

Sejak itu Laura belajar menerima Sara yang baru begitu juga dengan kehadiran Rifqi. Sabrina terus-terusan cuba mendapatkan Rifki dengan cara kotor. Dia dibantu oleh Obelia yang terdesak berkahwin dengan Sara. Laura menghilangkan diri tanpa dikesan. Namun sebelum itu dia sempat berpesan kepada Sara supaya mencari ibu kandungnya yang sebenar tinggal di Terengganu, Malaysia.

Ketika Sara setuju menerima lamaran Rifqi terbongkar satu kebenaran yang tidak pernah dibayangkan sama sekali. Sara adalah adik kandung Rifqi yang hilang dilarikan orang sejak bertahun lalu. Apakah mereka dapat menerima takdir itu? Ikuti kesudahan drama 26 episod ini di TV1.  

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Senarai Selebriti Yang Bakal Meriahkan Anugerah Skrin 2019

Kediaman Mesra Alam Dalam Dokumentari Inggeris PLANET HOME