Program jerayawara “Rio To Malaysia” melabuhkan tirainya dengan acara penutupan berlangsung di Felda Mempaga, Pahang pada 25 Mei lalu. Ternyata kehadiran orang ramai memeriahkan lokasi berlangsungnya karnival ini dilihat sebagai kayu pengukur kejayaan kepada penganjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha menyemarakkan sambutan Piala Dunia 2014, 12 Jun depan.
Hujan lebat yang mencurah ketika berlangsungnya majlis penutupan tidak sedikit pun membuatkan orang ramai berganjak malah setia ditempat masing-masing mendengar ucapan daripada Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Norhyati Ismail yang hadir merasmikan majlis penutupan program ini. Dato’ Norhyati juga turut meluangkan masa menyampaikan hadiah kepada pemenang acara futsal.
Situasi sama seperti di tiga lokasi sebelumnya, iaitu di Jasin Melaka, Felda Kerteh, Terengganu dan Felda Gedangsa, Hulu Selangor, orang ramai begitu teruja ‘turun padang’ turut serta dalam acara permainan dan pertandingan yang diadakan. Seawal pagi penduduk setempat yang hadir menyertai pelbagai aktiviti seperti pertandingan Futsal Rio, Mewarna Rio, Masterchef Rio Belia ADABI, Futsal Sarung, Bintang Suara FELDA dan Kuiz Rio memeriahkan hari pertama penganjuran program di lokasi menarik ini.
Kemeriahan diteruskan dengan hari kedua dengan aktiviti merangkumi Auto Show, Sukaneka, Deko Kreatif, DJ Corner, Kuiz Rio, DansaRobik serta pelbagai telematch yang menghiburkan. Selain itu para pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik serta cenderahati istimewa dari RTM.
Hiburan diteruskan dengan persembahan nyanyian daripada Ernie Zakri juara Bintang RTM 2009 yang menyampaikan lagu popularnya, Rindu Bukan Teman dan beberapa lagu lagi. Di samping itu artis FELDA iaitu ISKAF (Ikatan Seni Komuniti Artis FELDA) turut menghiburkan dengan lagu pilihan mereka.
Acara sukaneka pula menampilkan pelawak dan pengacara Munir, Azrul Zaidi dan pengacara Selamat Pagi 1Malaysia iaitu Fadzly Fuad. Tambah memeriahkan program ini dengan penglibatan para pelakon Drama Bersiri Gerak Khas antaranya Zamri Ibrahim dan Tisya Shamsir bermain bersama peserta dipilih.
Ternyata lokasi terakhir program ini dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam mempromosikan RTM sebagai penyiar berlesen siaran perlawanan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia FIFA 2014, yang akan berlangsung di Brazil bermula 12 Jun hingga 13 Julai ini.
Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia FIFA merupakan sukan nombor satu yang paling berprestij dan diminati ramai di seluruh dunia ini menyaksikan RTM telah menjadi penyiar utama bagi kejohanan empat tahun sekali itu sejak Piala Dunia 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1994, 1998, 2002, 2006 dan 2010.
RTM akan menyiarkan sebanyak 35 perlawanan meliputi 24 siaran langsung dan 11 siaran tertunda dengan siaran berdefinisi tinggi (HD). Siaran melibatkan negara yang diminati rakyat Malaysia antaranya Brazil, England, Argentina, Sepanyol, Perancis, Portugal, Itali, Argentina, Korea dan Jepun.
Turut hadir pada acara penutupan YBrs Encik Anuar Malek, Pengarah Pembangunan Komuniti Dan Koordinasi FELDA.
Siri jelajah Rio To Malaysia ditaja oleh penaja ADABI Consumer Industries Sdn Bhd, AVON Cosmetic (M) Sdn Bhd, Figos Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Superbest Power Health Food & Beverages Sdn Bhd, Hyrax Oil, Skop Production Sdn Bhd, Glaxo Smith Kline Consumer Helathcare Sdn Bhd dan Bright Network Sdn Bhd.