Jenama produk penjagaan diri, SimplySiti yang diterajui oleh Dato’ Siti Nurhaliza kini makin berkembang aktif dan dengarnya tak lama lagi akan melancarkan produk terbaru. Sedar tak sedar, SimplySiti dah hampir menjejak usia 2 tahun. Dan dengan kematangan itu, satu kempen telah dilancarkan oleh Presiden SimplySiti, Dato’ Siti Nurhaliza di Garden Ballroom, IOI Resort Marriot Putrajaya.
Kempen yang diberi nama SimplySiti Di Hati itu akan bermula pada 1 Disember 2011 hingga 15 Januari 2012 di mana mendapat kerjasama dari rakan niaga Watson’s untuk menyumbangkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan bagi meringankan lagi beban yang ditanggung. Siti Nurhaliza begitu terpanggil untuk mengadakan kempen ini kerana ia adalah satu tanggungjawab sosial yang memberi faedah kepada yang bernasib malang.
Dihoskan oleh pengacara program wanita, Azizah Ariffin, majlis pelancaran yang ringkas ini berjalan lancar dan ditamatkan dengan satu sidang media dan jamuan ringan.
Untuk kempen yang berlangsung selama 2 minggu ini, SimplySiti akan mengumpul dana bermula dari setiap negeri untuk disalurkan kepada Yayasan Institut Jantung Negara bagi membantu dua orang pesakit jantung iaitu Adik Siti Nur Syahira, berusia 6 tahun dan Adik Tan Jia Yong, berusia 3 tahun. Kedua-dua kanak-kanak ini telah mengidap penyakit jantung sejak lahir lagi dan memerlukan bantuan sebanyak RM70,000 untuk mendapatkan rawatan perubatan selanjutnya di Institut Jantung Negara.
Yang menariknya, Dato’ Siti Nurhaliza sendiri akan turun padang menjadi Perunding Kecantikan ke cawangan SimplySiti di Watson’s terpilih. Para pengguna dan peminat SimplySiti akan berpeluang bertemu dan membeli barangan SimplySiti secara langsung daripada Dato’ Siti Nurhaliza bermula di Kuala Terengganu pada 3 Disember 2011, di Kangar Perlis pada 10 Disember dan lokasi berakhir di Semua House pada 30 Disember 2011.
Untuk menjayakan kempen ini, SimplySiti bergabung juga dengan AirAsia X selaku syarikat penerbangan rasmi dan sumbangan hadiah sebanyak 20 tiket penerbangan ke destinasi pilihan pelanggan, juga bersama IJN Foundation sebagai rakan perubatan rasmi membantu dari segi kepakaran pembedahan dan pemulihan bagi Adik Siti Nur Syahira dan Adik Tan Jia Yong. Hotel rasmi pula iaitu Putrajaya Marriot Hotel & Spa selaku penginapan rasmi kanak-kanak ini dan sumbangan baucer penginapan sebagai hadiah kepada pengguna SimplySiti.
Majlis pelancaran semalam turut meraikan hari jadi adik Siti Nur Syahira yang jatuh pada semalam. Sangat comel budak ni.
Jadi, dengan itu Siti Nurhaliza mengajak semua pengguna SimplySiti untuk bersama beliau bagi merealisasikan kempen ini di mana dengan setiap pembelian, pelanggan akan turut membantu di mana mereka yang menderma akan berpeluang memenangi hadiah. Antaranya, 20 tiket penerbangan AirAsia X dan baucer penginapan dari Putrajaya Marriot Hotel & Spa untuk dimenangi.
Dengan pembelian RM200 ke atas, sebanyak RM5 akan disalurkan ke dalam Kempen SimplySiti Di Hati, pelanggan hanya perlu mengisi borang dan butiran diri disertakan dengan resit pembelian serta slogan “SimplySiti di hatiku kerana…” Cara senang, borang itu kemudian haruslah dikepilkan bersama resit pembelian dan dimasukkan ke dalam kotak tabung SimplySiti Di Hati yang disediakan di setiap kaunter SimplySiti di seluruh Watson’s.
Usaha murni ini disokong sepenuhnya oleh Rakan Eksklusif Watson’s, Syarikat Penerbangan Rasmi AirAsia X, Rakan Perubatan Rasmi IJN Foundation dan Putrajaya Marriot Hotel & Spa sebagai Hotel Rasmi.
Layari: www.simplysiti.com.my dan LIKE Facebook “SimplySiti”