Team Suria FM telah menyantuni golongan muaalaf di bawah jagaan Perkim dengan agihan ‘Kotak Infak Suria’ sebanyak 160 kotak serta sumbangan duit raya kepada 100 orang penerima, juga penyerahan sumbangan kepada pihak Perkim sebanyak RM5000.
Suria FM telah melancarkan kempen ‘Kotak Infak Suria’ mulai 8 April lalu sehingga 28 April 2022 dan telah berjaya menjual sebanyak 262 kotak. ‘Kotak Infak Suria’ dijual dengan harga RM55 mempunyai barangan seperti sejadah, minyak wangi mesra wuduk, pelitup muka dan hand sanitizer.
Program dihadiri seramai 150 orang terdiri daripada penerima bantuan, kakitangan Perkim, penyampai Suria FM juga kakitangan Suria. Turut hadir pada program tersebut ialah Setiausaha Agung (SUA) Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, Penolong Setiausaha Agung; Datuk Hj. Hasbullah L.Isa, Pengarah Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara; Dato’ Haji Abdul Hanif Harun, Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program; Tuan Haji Mamat Che Chik dan Pengurus Besar Suria FM; Cik Roslinda Abd Majid (DJ Lin).
Di samping itu, program pengagihan ini juga telah dimeriahkan dengan persembahan istimewa dari kumpulan nasyid terkenal, Inteam mendendangkan lagu ‘Damba Kasih’ dan ‘Assolatuwassalam’. Juga menampilkan penyanyi popular Sarah Suhairi membawakan lagu ‘Kau Yang Bertakhta’
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Cik Roslinda Abd Majid (DJ Lin) “Kempen ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Suria FM kepada masyarakat khususnya dalam kemeriahan kita dalam menyambut syawal yang akan tiba. Kami merasakan inisiatif ini sangat memberikan impak yang besar kepada golongan yang memerlukan agar mereka juga dapat nikmati bersama kemeriahan syawal pada kali ini kerana kita saling berkongsi rezeki sekaligus dapat meringankan beban mereka. Suria FM berterima kasih kepada semua yang sudi berinfak menerusi kempen ini dan memandangkan banyak respon yang positif, inshaAllah kempen seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa yang akan datang.”
Muat turun aplikasi terbaru Suria Malaysia dan ikuti platform media sosial Suria Malaysia untuk mendapatkan info terkini mengenai program menarik dan menghiburkan sepanjang syawal ini. Gunakan #NikmatiBersama untuk sebarang interaksi di laman sosial. Info lanjut di suria.my dan Youtube SuriaTV.