Dilancarkan pada 2 Julai lalu, kempen Bersamamu #KitaJagaKita yang dilancarkan oleh platform radio Media Prima dengan kerjasama kumpulan Media Prima telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia dengan lebih 4000 mesej Whatsapp daripada mereka yang memerlukan bantuan melalui 4 platform radio Media Prima kerana terkesan dengan keadaan sukar sekarang ini.
Bermula 5 Julai lalu, platform radio Media Prima, Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM telah memilih 8 pendengar yang terpilih setiap hari untuk menerima bantuan kewangan bernilai RM200 untuk digunakan oleh mereka bagi membeli barang keperluan harian.
Antara pendengar yang terpilih adalah seorang bapa yang mempunyai 2 orang anak yang masih kecil dan tidak mempunyai punca pendapatan kerana telah dibuang kerja. Dia yang sebelum ini bekerja sebagai jurukimpal menerima nasib itu selepas majikannya sudah tidak mampu untuk membayar pekerjanya.
Katanya, “sekarang ni dah tak ada duit simpanan, nak pinjam dekat saudara-mara, mereka pun perlukan duit”. Tambahnya lagi dia bukan bermaksud untuk menagih simpati tetapi terpaksa meminta bantuan untuk membeli keperluan anak yang masih kecil seperti susu dan lampin pakai buang.
Selain itu juga, ramai juga pendengar yang sekadar berkongsi cerita dan cabaran yang dihadapi oleh mereka ketika pandemik COVID-19 sedang melanda negara. Antaranya, cerita seorang pendengar yang sudah hampir dua tahun tidak dapat berjumpa dengan kedua ibu bapanya dan lebih menyedihkan bakal melangsungkan perkahwinan tanpa ada ahli keluarga bersama di hari pernikahannya.
Hanya kata-kata “tak apalah nanti masa nikah hantar saja lah gambar untuk mak ayah tengok”, yang akan disampaikan kepada ibu bapanya disebabkan masalah rangkaian internet untuk menghubungi ibu bapa dan keluarganya yang berada di Semenanjung Malaysia.
Pelbagai cerita dan masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sekarang membuatkan platform radio Media Prima mengambil inisiatif untuk membantu mereka tidak kira bantuan dari segi sokongan moral atau bantuan kewangan.
Rakan-rakan artis antaranya Haqiem Rusli, Khai Bahar, Siti Nordiana dan ramai lagi turut memberikan sokongan kepada kempen Bersamamu #KitaJagaKita ini bersama para penyampai radio Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang terkesan ini terpinggir daripada menerima sebarang bantuan.
Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studio berkata, disebabkan peningkatan kes COVID-19, ramai rakyat Malaysia yang terkesan.
Tambahnya lagi, “orang ramai yang terkesan dan sedang dalam kesulitan, bolehlah menghantarkan Whatsapp ke 017-6846950 dengan berkongsi cerita atau masalah anda, kerana kami ingin pastikan tiada rakyat Malaysia yang terpinggir daripada mendapatkan sebarang bantuan.
Pendengar terpilih akan diberikan wang tunai RM200 melalui tabung Bersamamu #KitaJagaKita”.
Oleh itu, pihak platform radio Media Prima dan kumpulan Media Prima berharap agar bantuan kewangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat Malaysia yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19.