Bukan mudah sebenarnya mahu mengecap kejayaan dalam hidup apabila setiap hari yang dilalui terpaksa ditempuhi dengan situasi kekurangan dan kemiskinan yang membelenggu diri. Di saat orang lain berpeluang memperolehi apa sahaja yang diinginkan dalam hidup mereka, masih ada segelintir golongan masyarakat yang berjuang untuk meneruskan hidup dan mengejar cita-cita sekaligus cuba membela dan mengubah nasib keluarga.
Bagi memotivasikan masyarakat ini agar tidak gentar dan berputus asa dalam mengharungi hidup ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dokumentari Kemiskinan Bukan Penghalang, setiap Sabtu, jam 4.00 petang di TV1.
Menampilkan pengacara berkarisma yang tidak asing lagi, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim Kemiskinan Bukan Penghalang bertujuan murni untuk mengutip Dana bagi Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.
Selain itu, Ia diharap dapat memberi kesedaran kepada rakyat untuk menderma bagi membantu pelajar miskin meneruskan persekolahan dan sekaligus memajukan diri mereka. Apa yang cuba dipaparkan, Kemiskinan bukanlah menjadi penghalang untuk kanak-kanak miskin ini mencapai cita-cita.
Dokudrama menarik 13 episod ini adalah kerjasama antara Unit drama TV RTM diterbitkan oleh Noraziah Zakaria dan Wan Mohd Afzam Wan Daud dengan Bahagian Biasiswa, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Untuk itu, jangan ketinggalan menyaksikan dokudrama Kemiskinan Bukan Penghalang, setiap Sabtu, jam 4.00 petang di TV1.