Industri perfileman Melayu sudah bermula lebih enam dekad dahulu. Dari filem terbitan tahun 1933, iaitu Laila Majnun hinggalah yang terbaru Nana Tanjung 2 keluaran tahun 2007. Sinema Malaysia telah mengalami jatuh bangunnya…
Dalam memperkatakan mengenai kebangkitan sinema Malaysia dewasa ini, maka ramailah pengeluar-pengeluar filem mendabik dada mengatakan bahawa mereka akan melahirkan karya-karya bermutu dan mengangkatnya setaraf karya keluaran negara Korea, Jepun, Thailand, Filipina Atau Indonesia. Namun, persoalan yang timbul adakah benar sinema Malaysia telah mencapai tahap tersebut?
Dalam dekad 50an hinggalah ke zaman kegemilangan filem Melayu, P. Ramlee telah membuktikan bahawa karya-karya tempatan terbaik di Asia Tenggara. Anugerah demi anugerah telah digondol oleh beliau. Samada dari sudut penceritaan atau di belakang kamera, hasil kerja pasukan perfileman ketika itu cukup dihargai dan disegani di peringkat asia tenggara.
P. Ramlee telah memberikan satu impressi dan imej yang cukup segar kepada negara asing yang Malaya pada ketika itu, mampu menghasilkan karya-karya sinema bermutu.
Hasil-hasil karya ini, sentiasa menjadi perhatian dan minat kepada generasi selepas itu. Selepas kematian beliau, ramai pelapis baru dalam industri ini menjadikan P. Ramlee sebagai ikon kepada mereka. Mereka bertekad untuk mengharumkan industri sinema Malaysia, seperti yang telah dilakukan oleh P.Ramlee.
Namun, pada dekad-dekad yang berikut, kelihatan sinema Malaysia semakin lesu. Memang ada, satu dua filem yang berjaya memberikan kesan kepada penonton, tetapi ianya setakat mendapat pengiktirafan di dalam negara sahaja.
Jika ingin dikatakan kebangkitan filem Malaysia, barangkali, bolehlah dikatakan penghujung tahun 80an hinggalah kepada awal tahun 90an, menjadi satu period yang boleh dibanggakan.
Dengan hasil karya yang pelbagai genre, seperti Azura, Bukit Kepong, XX Ray, Abang 92, Fantasia dan beberapa filem lagi, ianya membuktikan bahawa genre filem yang dikeluarkan adalah pelbagai dan agak berjaya membentuk pemikiran penonton. Namun, apabila sinema Malaysia mula merangkak ke separuh 90an, genre – genre filem yang diterbitkan menjadi semakin klise. Pengarah suka menghidangkan karya berbentuk romantik seperti Sembilu arahan Yusuf Haslam (Sekarang Dato’), yang membuat kutipan sehingga enam juta ringgit.
Dan, sinema Malaysia menjadi semakin letih dan lesu apabila dengan kebangkitan filem Sembilu yang pecah panggung. Maka, pengeluar-pengeluar filem menggunakan format yang sama untuk menumpang tuah filem tersebut. Penonton dihidangkan berulangkali dengan genre filem seperti itu, sehinggakan penonton menjadikan ianya sebagai gaya hidup dan menjadi sebahagian dari pembentukan sahsiah dan pemikiran mereka.
Masalah ini berlanjutan hinggalah ke era millenium. Mungkin dari kutipan tiket, cukup memberangsangkan. Tetapi jika dinilai dari sudut nilai-nilai estetika, budaya, agama dan sosial, semuanya dibakul sampahkan.
Mujurlah, ketika syarikat pengeluar-pengeluar filem ternama berlumba-lumba menghasilkan karya komersil yang “hilang vitamin” ini, masih ada segelintir insan yang masih sudi menghasilkan filem-filem yang boleh membentuk pemikiran penonton.
Yasmin Ahmad dengan Sepet, Gubra dan Mukhsin, sementara U-Wei haji Shaari dengan Kaki Bakar dan Jogho, sesungguhnya memberikan satu perspektif dan nafas baru kepada sinema Malaysia. Walaupun, ada sesetengah karya yang terpaksa menelanjangkan sopak dan kurap dalam budaya kita, tetapi, sekurang-kurang, karya itu boleh diberikan pengiktirafan dari segi nilai-nilai yang ada dan membentuk pemikiran audien.
Bukan salah penonton apabila mereka mula rimas dan lemas untuk ke panggung menonton wayang. Tetapi, malangnya, apabila ada pengarah dari peringkat biasa hinggalah yang mendapat pendidikan dari negara atas angin yang menghidangkan genre, jalan cerita dan watak yang sama, maka, penonton yang semakin bijak dan pintar, mula menjauhi karya-karya mereka.
Tetapi, mungkin ada pengeluar filem mengatakan bahawa, jika filem yang sarat dan padat dengan nilai budaya, agama, estetika dan intelek tidak berjaya dalam mencapai kutipan yang tinggi, maka, apa gunanya. Jawapannya adalah, inilah akibatnya, apabila audien selama ini telah dijolok dan dibentuk dengan karya-karya klise yang menyebabkan “halangan minda” bagi mereka menerima karya-karya seperti ini.
Kutipan yang mencecah jutaan ringgit, bukanlah satu ukuran kebangkitan sinema Malaysia. Jika dahulu, harga tiket sekadar RM 5, dan sebuah filem telah mendapat kutipan satu juta, ianya dikirakan “box Office” atau pecah panggung, tetapi dengan harga tiket sekarang yang mencecah RM10, kutipan untuk sesebuah filem yang mencapai RM3 juta hingga RM 4 juta, bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
Selain dari itu, sinema Malaysia seharusnya bersyukur dengan adanya keistimewaan tertentu, seperti syarat wajib tayang, yang memerlukan pengusaha-pengusaha pawagam untuk menayangkan filem-filem tempatan dalam julat hari yang telah ditetapkan. Selain dari itu, filem-filem luar yang boleh membuat “pukulan K.O” kepada karya tempatan akan dielakkan. ini memberikan satu advantasi kepada pengeluar filem tempatan mendapatkan pulangan yang cukup baik.
Namun, dengan keistimewaan seperti itu pun, masih ada filem yang gagal di dalam industri ini, maka, pengeluar-pengeluar filem dalam sinema Malaysia, harus berfikir, kenapa dan bagaimana karya mereka boleh gagal. Jawapan kepada persoalan ini adalah disebabkan genre dan gaya karya yang sama menyebabkan audien meluat ke pawagam.
Yang cukup menyedihkan, masih ada sesetengah pengeluar filem yang yakin, paras pemikiran penonton sinema Malaysia adalah rendah. Mereka sanggup menyajikan jalan cerita yang “entah apa-apa” dengan hasil kerja di belakang kamera yang teruk, dengan harapan karya mereka akan laku atau sekurang-kurangnya balik modal, dengan alasan penonton hanya ke pawagam untuk berhibur.
Inilah, resepi yang menyebabkan penonton akan rasa tertipu dn tidak sanggup ditipu, maka menyebabkan mereka tidak akan ke panggung… walaupun filem yang seterusnya agak bagus.
Pengeluar filem sepatutnya tidak membentuk satu euphoria kepada penonton dengan mengatakan filem mereka bermutu, terbaik dan bagus. Tetapi, pengkarya perlulah berasa bertanggungjawab dalam menghasilkan filem yang mampu membentuk pemikiran massa. Benar, ada sesetengah filem yang berniat untuk berdakwah, tetapi, jika filem itu tidak mampu memberikan jiwa kepada penonton, bagaimana mesej dakwah itu ingin disampaikan.
Bukanlah, industri Sinema malaysia terlalu jumud dan teruk. Tetapi, bagi meneruskan kelangsungan hidup sinema Malaysia, pengeluar filem dan pengkarya perlulah mencari idea dan resepi yang baru. Satu resepi yang bukan memperbodohkan penonton supaya datang menonton, tetapi resepi yang akan memberikan kepuasan menonton dan membiarkan mesej karya itu membentuk minda menjadi lebih gemilang.
Setelah 50 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan, dan rakyat Malaysia telah berjaya terbang di angkasa. Maka, aliran sinema Malaysia, harus berubah dan memberikan satu impak yang cukup besar, bukan sekadar di dalam negara, biarlah ianya bekesan kepada audien dari negara luar. Kita tidak akan mahu lagi menjaja hasil filem yang akan dipandang hina oleh orang luar, biarlah karya kita akan mendapat pengiktirafan serta kritikan yang memberangsangkan dari mereka. janganlah karya kita menjadi cemuhan di negara asing, tapi kita memerlukan karya yang menjadi pujian.
Kuantiti dan kualiti, bukanlah menjadi satu pilihan. Yang mana satu harus didahulukan atau dikurangkan. tetapi kualiti dan kuantiti harus seiring. Biarlah, industri perfileman negara luar seperti Bollywood atau Hollywood dengan gaya mereka. Tetapi bagi negara ini, sinema Malaysia, harus bertanggungjawab membentuk satu acuannya sendiri, membentuk satu jati diri yang lebih tinggi dari bangsa lain. Menjadikan sinema Malaysia, cemerlang, gemilang dan terbilang.
Dan persoalan utamanya, adakah sinema Malaysia ketika ini sedang menuju kebangkitan atau semakin lesu? Jawapannya terletak kepada pengkarya itu sendiri. Bola sudah ada ditangan, golekkanlah semoga ianya mengenai sasaran.
[tags]rencana filem, sejarah filem melayu, sejarah p ramlee, senarai filem p ramlee, sinema malaysia, Sinopsis, Gambar, foto, sidang media, Berita Harian, Harian Metro, Cinema Online, Filem, Cinta Yang Satu, Sharifah Sofea, kiasu culture, Zulkeflie M. Osman, Shafiuddin Shariff, Zul Huzaimy, kias, Siti Elizad, Ezany Nizariff, perkahwinan Ezany, Sheera,cerita 18sx, cream color, gambar selebriti bertunang, intan shahira, Malaywood, off white baju kahwin, pelakon cerita puteri, perkahwinan melayu, phyne ballerz, reka pelamin, samping melayu, skandal gadis melayu[/tags]