Terpahat di tengah-tengah bandaraya Bangkok, The Peninsula Bangkok berdiri megah menghiasi latar belakang sungai Chao Phraya, sungai tersohor Thailand yang juga berdekatan dengan kawasan pusat komersial bandaraya tersebut. Hotel berjenama antarabangsa ini terus menjadi tumpuan mereka yang ingin bermalam dalam suasana mewah dan selesa.
The Peninsula Bangkok telah lama membuka pintunya dan menjadi pilihan terulung bagi tempat penganjuran acara-acara penting di ibunegara Thailand ini. Sering menjadi tumpuan komuniti elit serta para profesional antarabangsa, hotel bertaraf lima bintang ini tersenarai sebagai salah satu hotel paling mewah di Bangkok.
Ia terletak tidak jauh dari stesen BTS Saphan Thaksin yang boleh juga dituju dengan menyeberangi Sungai Chao Phraya dengan menaiki kapal tamu khas milik The Peninsula Bangkok sendiri. Di sepanjang Sungai Chao Phraya, hanya beberapa hotel berbintang lima sahaja yang mempunyai bot khas sendiri.
Hotel ini mempunyai 370 buah bilik yang luas termasuk 60 bilik suite (dan lima yang bertema khas) yang hebat. Kesemua bilik-biliknya diberi sentuhan gaya klasik dan kontemporari bagi memenuhi keselesaan setiap tamu yang datang.
Senireka dalaman serta hiasannya juga masih menerapkan unsur-unsur warisan Asia dan sentuhan Eropah jenama tersebut selain sedikit penggabungan elemen tradisional Thailand. Sejajar dengan tarafnya sebagai sebuah hotel lima bintang yang eksklusif, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan teknologi tercanggih yang merangkumi sambungan internet, TV LCD 42 inci, dan macam-macam lagi. Kelengkapan bilik mandi juga menggunakan barangan berkualiti tinggi serta barangan berjenama mewah yang lain.
Untuk tujuan menjamu selera pula, hotel ini menawarkan ajnas pilihan untuk bersantap. Selain River Cafe & Terrace yang memang sudah menjadi salah satu identiti khas hotel ini di mana para tamu boleh menikmati sajian enak di tepi Sungai Chao Phraya, mereka turut mempersembahkan beberapa buah tempat makan yang lain. Ini termasuklah The Lobby bagi tujuan makan tengah hari, minum petang dan makan malam, Thiptara: sebuah restoran tradisional Thailand yang menghidangkan menu asli Siam secara fine dining di tepi Sungai Chao Phraya, serta Restoran Mei Jiang yang menyajikan makanan Cina terbaik. Tidak dilupakan juga adalah The River Bar bagi mereka yang ingin menikmati minuman sambil bersantai dengan alunan muzik, serta the Pool yang terletak di kolam renang buat mereka yang ingin menikmati hidangan di tepi kolam renang.
Selain kolam renangnya dan juga pusat kesihatan serta senaman, hotel ini turut dilengkapi dengan ruangan mesyuarat buat pelbagai kegunaan. Ia juga sering menjadi pilihan untuk penganjuran acara-acara besar seperti perkahwinan dan seumpamanya. Dengan pemandangan terhebat bandaraya Bangkok dari setiap jengukan jendela dan iringan bayu sungai Chao Phraya, hotel ini memang sesuai menjadi tempat penginapan buat mereka yang menghargai perkhidmatan berkualiti tinggi. Sekiranya berpeluang ke Bangkok, bermalamlah di The Peninsula Bangkok kerana pengalamannya tidak akan anda lupakan!
Kemegahan Chao Phraya terserlah di The Peninsula Bangkok
oleh Shah Shamshiri