in ,

Kemboja Putih Gandingkan Fauzi Nawawi & Eira Syazira

”ADA DUA BUNGA DI HATI KU…”
Gandingan Serasi Eira & Fauzi Harumkan
Kisah Lagenda Terbaru TV3

“Kalau tuan mudik ke hulu, carikan saya bunga kemboja. Kalau tuan mati dahulu, nantikan saya di pintu syurga.” Terbaru daripada TV3, ikuti kisah KEMBOJA PUTIH mengungkap percintaan romantis dan menyayat hati di antara si suami dan isteri yang terus diuji, menangkis onar dan halangan yang lahir dari sifat dengki dan nafsu buas syaitan yang bertopengkan manusia!

Kemboja Putih

KEMBOJA PUTIH bersiaran mulai 7 Mac 2011, setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di slot Lagenda. Drama siri ini menyusul selepas berakhirnya “SAKTI DELIMA”, dan ke udara sebanyak 20 episod.

Terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd., drama seram bercorak romantis dan sedih ini mempamerkan dua individu berbakat iaitu Haris Fadzilah sebagai pengarah dan penulis skrip Rozie Rashid yang berganding bahu dalam merealisasikan KEMBOJA PUTIH, dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Fauzi Nawawi, Eira Syazira dan Ezany.

Seindah tajuk dan gambarannya, KEMBOJA PUTIH mengisahkan tentang Kemboja (Eira Syazira), seorang gadis cantik, sopan santun dan lemah lembut, yang sering menjadi perhatian anak-anak muda kampung. Tinggal bersama ibu dan ayah tirinya, Kemboja menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pemuda bernama Amar (Fauzi Nawawi), dan ini telah menimbulkan rasa cemburu pada anak-anak muda yang lain terutamanya Zali (Ezany).

Kemboja Putih

Zali adalah cucu angkat kepada Tok Ketua dan mempunyai beberapa orang bawahan. Mereka sentiasa bersama melakukan perkara-perkara tidak bermoral dan mereka selalu berhubung dengan Ako, ketua samseng dari Kuala Lumpur.

Walaubagaimanapun, Amar, seorang anak muda kampung yang dikenali kerana nilai-nilai murninya seringkali menjadi kebencian kepada Zali, hanya kerana Amar dan keluarganya bukanlah penduduk asal kampung tersebut. Dan disebabkan itu, Zali sentiasa mempengaruhi pemikiran orang-orang kampung untuk membenci dan menyisihkan Amar dan keluarganya.

Setelah mengetahui bahawa dia merupakan seorang anak hasil ketelanjuran ibunya, Zarina, dengan Rahim, Zali menyimpan dendam terhadap Rahim yang melarikan diri bersama Zarina. Kemboja dan ibunya dipukul oleh Zali bagi melepaskan geramnya pada Rahim. Kemboja cuba meminta pertolongan dari orang kampung dan akhirnya Zali ditangkap tetapi kawan-kawannya yang lain sempat melarikan diri. Selang beberapa hari Zali ditangkap, dia telah dibebaskan hasil pertolongan Ako.

Akibat dari dipukul dengan kuat, Haryati (ibu Kemboja) telah jatuh sakit dan sebelum dia meninggal dunia, Haryati minta agar Kemboja dan Amar disatukan sebagai suami isteri kerana bimbangkan keselamatan Kemboja.

Kemboja Putih

Setelah berkahwin, Amar dan Kemboja kini menjalani kehidupan mereka sebagai suami isteri dengan penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Mereka berdua menetap di rumah peninggalan arwah ibu Kemboja. Namun demikian, dendam Zali masih membara, dan pada setiap waktu Zali sentiasa memikirkan cara untuk menghancurkan hidup Amar seterusnya memiliki Kemboja.

Perasaan dengki dan cemburu terhadap pasangan kekasih ini kemudiannya berubah menjadi dendam yang dahsyat di dalam diri Zali, yang akhirnya mengundang kepada pelbagai tragedi yang tragis, sedih dan menyayat hati.

Apakah yang akan dilakukan Zali, dan adakah ia mampu meragut kebahagian Kemboja dan Amar?

Teruskan menonton drama hebat terbaru, KEMBOJA PUTIH yang pastinya menjanjikan seribu satu debaran dan permainan emosi khas untuk tatapan anda dikala waktu petang, mulai 7 Mac 2011, setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di slot Lagenda., hanya di TV3!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dynas Mokhtar Si Kecilku Chakk

Mubarak Majid Zarynn Min Drama Cinta Seorang Isteri