11 Tahun Kembara X-Plorasi Di TV1 : Musim Baru Singgah Ke Nepal dan Bali, Indonesia
[dropcap]T[/dropcap]empoh 11 tahun bersiaran menemui penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) jelas membuktikan penerimaan baik di kalangan penonton terhadap program X-Plorasi yang berkonsepkan aktiviti sukan lasak dan kembara di seluruh tanah air dan di luar negara.
Bersama pengacara lincah Azura Zainal, program yang turut memaparkan elemen konservasi atau penjagaan alam sekitar di samping lokasi menarik yang boleh dilawati oleh penggemar aktiviti lasak yang mahukan kelainan dalam kembara mereka ini kembali menerusi musim baru mulai 3 Februari 2013 disiarkan pada setiap hari Ahad, jam 9.30 malam di TV1.
Menurut Jabir Shafie selaku penerbit program ini:
“Pendekatan baru dari segi olahan penceritaan dan penyampaian pengacaraan Azura Zainal turut dilakukan bagi menjadikan program ini sentiasa segar di hati masyarakat. Dari segi pengacara juga kita lakukan ‘comeback’ dengan menggunakan khidmat pengacara X-plorasi yang pertama iaitu Datin Suriani Abd. Rahman di dalam beberapa episod.”
Penerokaan pelancongan dalam program ini antara lain turut menekankan aspek konservasi dan pemuliharaan alam setempat yang dijalankan di kawasan liputan. Pengolahan rancangan dibuat berdasarkan perspektif pengacara rancangan sebagai seorang yang mempunyai hobi menggembara dan menggemari aktiviti lasak serta peka terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Liputan merangkumi destinasi pelancongan yang belum popular dan tidak pernah diketahui umum di negara ini merangkumi aktiviti lasak seperti selaman skuba, pacuan empat roda, mendaki gunung, kayak arus deras, berakit, motocross, berbasikal bukit, paramotor dan banyak lagi. Malah krew X-plorasi turut mengadakan penggambaran dibeberapa buah negara antaranya Nepal dan Bali, Indonesia.
Krew penerbitan X-plorasi terdiri daripada Roziah Naam selaku penerbit eksekutif, Jabir Shafie (penerbit), Norazlan Tendot Abu Bakar (penerbit), Wan Abdul Mutalib (penolong penerbit) dan Azura Zainal yang bertindak sebagai pengacara.
Bagi yang gemar melancong dengan kepelbagaian aktiviti lasak, ikuti pelbagai pengalaman kembara menarik dalam X-plorasi musim baru ini. Maklumat lanjut mengenai butiran rancangan boleh diperolehi dari laman www.facebook.com/x-plorasi, blog : xplorasirtm1.blogspot.com dan Twitter : xplorasirtm1.