KEMBARA SYAHADAH 4 MENYUSURI PERKEMBANGAN ISLAM DI ALBANIA PADA 20 – 23 SEPTEMBER 2008 DI RTM1
Sejak bermulanya sambutan bulan Ramadan lalu, program berbentuk dokumentari, Syahadah 4 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menjelajah ke negara-negara Balkan juga Eropah seperti Sepanyol, Turki, Bosnia Herzegovina, Croatia, Slovenia, Greece dan mulai 20 hingga 23 September ini giliran Syahadah 4 singgah di Albania pula.
Program ini membawa para penonton mendekati perkembangan umat serta agama Islam dapat diikuti dalam dua versi, versi Bahasa Malaysia, jam 6.35 petang di RTM1 dan juga versi Bahasa Inggeris, jam 5.00 petang menerusi RTM2.
Tampil dengan tema “Satu Lafaz Berbeza Resam”, Syahadah 4 menjelajah Albania untuk meninjau peranan Pusat Islam di Tirana dalam menjaga kebajikan dan membimbing masyarakat Islam Albania.
Kemudiannya penonton berpeluang mengetahui apakah bentuk kerjasama yang dilakukan 2 buah negara, Albania dan Turki dalam usaha memajukan sistem pendidikan penduduk Albania di Shkodra.
Malah jelajah ini juga turut memaparkan usaha kerajaan Albania dalam memajukan sistem pendidikan di Albania untuk terus berkembang terutama dari segi pengajaran dan teknik penyampaian kepada para pelajar di Durres dan Berati pula.
Sebelum siri jelajah Syahadah 4 menyusuri Albania ini diakhiri dengan memaparkan dan mengupas hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia dan Albania bersama Konsul Kehormat dan Perdana Menteri Albania.
Pastikan anda tidak akan melepaskan peluang keemasan menonton Syahadah 4 di Albania, pada 20 hingga 23 September ini, jam 6.35 petang, hanya di RTM1. Manakala versi Bahasa Inggeris akan bersiaran di RTM2 pada jam 5.00 petang.