in ,

Kembara Maria Tunku Sabri Dalam Jom Terokai Perak

KEMBARA MARIA TUNKU SABRI DALAM ‘JOM TEROKAI PERAK’

Sempena menyambut Tahun Melawat Perak 2012, TV3 menampilkan sebuah program travelogue terbaru ‘Jom Terokai Perak’ dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan Tourism Perak. Program yang dihoskan oleh Maria Tunku Sabri ini akan membawa penonton mengembara ke setiap persegi negeri Perak Darul Ridzuan yang sememangnya kaya dengan tradisi, sejarah, pelancongan, aneka makanan, seni kebudayaan dan kraftangan.

‘Jom Terokai Perak’ yang akan bersiaran sebanyak 13 episod mulai 12 April ini bakal memberi idea dan menarik minat penonton untuk mengunjungi negeri Perak ataupun lebih dikenali sebagai ‘Bumi Bertuah’ kerana dikurniakan dengan pelbagai anugerah Tuhan dan tempat-tempat menarik untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Diambil sempena nama Bendahara Tun Perak yang berjaya menaikkan nama Melaka sebelum kedatangan penjajah Portugis, Negeri Perak cukup sinonim dengan keindahan 10 ikonnya iaitu Taman Negeri Royal Belum, Hutan Paya Bakau Matang, Gua Tempurung, Taman Herba Perak, Hot Spring Sungai Klah, Pulau Orang Utan, Zoo Taiping & Night Safari, Pulau Pangkor, Bandar DiRaja Kuala Kangsar dan The Limestone Wonder, Ipoh.

Limau Bali di Tambun

Bersama hos, Maria Tunku Sabri, ‘Jom Terokai Perak’ akan mengembara dan menawarkan pengalaman manis di lokasi, antaranya, menyelami sisi kisar William Kellie Smith, seorang peneroka estet warga Scotland yang datang ke Tanah Melayu pada tahun 1890 di Kellie’s Castle yang terletak di Batu Gajah, mendekati Hutan Hujan Khatulistiwa seterusnya mencuba sukan lasak water rafting di Sungai Kampar, saksikan keajaiban gua batu kapur yang mempunyai keluasan 1.9 km dan dipercayai telah wujud sejak 8000 SM lagi di Gopeng, nikmati keseronokan taman tema dengan pelbagai aktiviti menarik bersama seisi keluarga seperti Adventure River, Cliff Racer, Explorebay, Jungle Wave Bay, Tambun Hot Springs, Tiger Valley dan Tube Raiders di Lost World of Tambun dan banyak lagi di Ipoh, ibu negeri Perak.

Kembara ‘Jom Terokai Perak’ menuju ke bandar kedua terbesar negeri Perak iaitu Taiping yang mempunyai populasi hampir 200,000 orang penduduk. Terletak di bahagian utara negeri Perak, Taiping juga merupakan destinasi tarikan pelancong yang mendapat tumpuan. Bukit Larut, dahulunya dikenali dengan nama ‘Maxwell Hill’ merupakan kawasan peranginan tanah tinggi tertua di Malaysia dan masih mengekalkan suasana kolonial dengan rumah banglo dan taman konsep Inggeris.

Zoo Taiping mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia terletak di dalam kawasan semulajadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut. Keindahan alam semulajadi yang menawan seperti aliran anak sungai, tasik dan kehijauan flora menambahkan lagi keunikan Zoo Taiping. Merupakan zoo awam pertama dan tertua yang dibuka di Malaysia, zoo seluas 34 ekar ini mempamerkan lebih 180 spesis binatang.

Masih di Taiping, perjalanan ‘Jom Terokai Perak’ diteruskan di Kuala Sepetang yang cukup popular dengan Mee Udang dan saksikan kelip kelip yang menerangi pokok berembang di Kampung Dew. Kuala Kangsar, Bandar DiRaja dan bersejarah bagi negeri Perak Darul Ridzuan merupakan kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai produk-produk tempatan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Penonton dapat melihat tempat-tempat menarik, contohnya, Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Galeri Sultan Azlan Shah dan banyak lagi. Di Kuala Kangsar juga penonton dapat menyaksikan industri kraftangan Labu Sayong, Keris, Tekat dan Arca Besi.

Menyusuri ke bahagian Barat negeri Perak, ‘Jom Terokai Perak’ akan memaparkan pulau tropika yang menawan dan memiliki beberapa tempat tarikan pelancong yang pastinya mengkagumkan. Dalam episod pembukaan ‘Jom Terokai Perak’ ini bakal menampilkan YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor. Dahulunya, Pulau Pangkor dijadikan sebagai lokasi simpanan bijih timah dan barang dagangan lain oleh penjajah Belanda. Kesan dan peninggalannya masih boleh dilihat di Kota Belanda. Nikmati panorama indah dan suasana damai di beberapa pantai dan pulau kecil di Pulau Pangkor seperti Pantai Teluk Nipah, Pantai Pasir Bogak, Pantai Puteri Dewi, Pulau Mentangor dan Pulau Giam yang bersih untuk bermandi-manda sambil melakukan pelbagai aktiviti rekreasi serta sukan air, antaranya, snorkeling, bermain jet ski, menunggang banana bot, berkayak, menaiki kapal layar dan macam-macam lagi. Ikuti kembara Maria Tunku Sabri dalam ‘Jom Terokai Perak’ yang turut ke destinasi-destinasi tarikan lain seperti Teluk Intan, Bagan Datoh, Pasir Salak dan banyak lagi.

Majlis Pelancaran program ‘Jom Terokai Perak’ dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, YB Dato’ Hamidah Osman, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita Dan Kebajikan Negeri, serta YBhg Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Media Prima Berhad.

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, “Program ‘Jom Terokai Perak’ merupakan langkah positif stesen menyokong inisiatif kerajaan negeri Perak dan Tourism Perak dalam mempromosi pembangunan industri pelancongan. Melalui program ini, penonton akan disajikan dengan pelbagai informasi dan maklumat mengenai destinasi-destinasi menarik di negeri Perak seterusnya menggalakkan percutian di dalam negeri”.

‘Jom Terokai Perak’ diterbitkan oleh Manterra Media Sdn Bhd yang diterajui oleh Rosmina Mohd Sapian sebagai Penerbit Eksekutif dan Rasidan Hassan sebagai Penerbit. Saksikan ‘Jom Terokai Perak’ yang dihoskan oleh Maria Tunku Sabri pada setiap hari Khamis jam 5.30 petang, selama 30 minit hanya di TV3.

Istana Lambang Cinta Yang Ingin Dihadiah Oleh Kellie Kepada Isterinya Pada Tahun 1926

Gua Terbesar Di Malaysia, Gua Tempurung

Demo Mendulang Bijih Timah Di Lost World of Tambun

Cuba Aktiviti Lasak Water Rafting Di Sungai Kampar

Maria Bersama Burung Kakak Tua Di Lost Word of Tambun

Maria Cuba Membuat Labu Sayong

Pembuatan Arang Daripada Kayu Bakau Di Kuala Sepetang

Suasana Di Kawasan Peranginan Tanah Tinggi Bukit Larut

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Climbing For a Cause

Uji bakat Kilauan Emas Musim Kedua