Hip-Hoppin’ Asia, sebuah rancangan yang diiktiraf di pentas antarabangsa kini kembali dengan musim ke-2 – Hip-Hoppin’ Asia: The Saga Continues. Siri travelog ini berjaya menggondol Anugerah Perak di Anugerah Televisyen Festival Filem Antarabangsa Chicago (ATFFAC) 2013 menerusi kategori ‘Travel Series’ serta ‘Videografi’ dan ‘Suntingan’ Terbaik di Anugerah Skrin 2013.
Hip Hoppin’ Asia merupakan satu-satunya rancangan travelog yang bakal membawa khalayak menghayati muzik dan budaya hip-hop di seluruh rantau Asia! Edisi kedua ini akan menemui penonton setiap Khamis, jam 9.30 malam bermula 14 Jun 2015 di saluran hip 8TV!
Untuk musim terbaru ini Hip-Hoppin’ Asia: The Saga Continues bakal menampilkan penyanyi rap yang cukup popular SonaOne yang akan membawa khalayak dan peminat budaya dan muzik hip-hop khususnya mengembara ke Mongolia, Lebanon, Cambodia, China, Korea, India, Singapore dan Turkey.
Berbakat sebagai penerbit, komposer dan penulis lirik, SonaOne yang mula dikenali peminat Melayu setelah lagu Apa Khabar dinobatkan sebagai Juara Lagu ke-29 ini melebarkan sayap sebagai hos dan bakal membawa anda bertemu dengan orang-orang kuat hip-hop dalam kembara yang cukup unik ini.
Sepanjang kembara ini, Sona belajar untuk menyesuaikan diri dengan budaya di setiap negara yang dilawati antaranya mempelajari seni ‘Khoomei’ yang dikenali sebagai ‘throat singing’, berpeluang melihat persembahan wayang kulit (shadow puppet), menghadiri kelas K-POP untuk mengetahui rahsia menjadi bintang terkenal, belajar bermain alat muzik tradisional ‘Erhu’, bersiar-siar di Orchard Road, melawat Taj Mahal dan banyak lagi!
“Saya sememangnya cukup teruja dengan penerbitan musim terbaru siri ini,” ujar Cik Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Penjenamaan & Program 8TV & ntv7.
“Kami menerima sambutan baik dari penonton dan apabila berjaya mengharumkan nama negara di Anugerah Televisyen Festival Filem Antarabangsa Chicago (ATFFAC) 2013, saya rasa tidak ada sebab mengapa program ini tidak disambung.
“Bagi peminat muzik dan budaya Hip-Hop, rancangan ini kami dedikasikan untuk anda dan juga untuk semua peminat SonaOne dan industri muzik Malaysia,” tambah Airin lagi.
Musim pertama Hip-Hoppin’ Asia menampilkan Joe Flizzow sebagai pengacara yang membawa penonton mengembara ke beberapa negara antaranya Jepun, Thailand, Indonesia, Taiwan dan Hong Hong.
Saksikan Hip-Hoppin’ Asia: The Saga Continues yang bakal bersiaran setiap Khamis, jam 9.30 malam bermula 14 Jun 2015 eksklusif di saluran hip 8TV! 8TV juga boleh ditonton menerusi saluran 708.
Kini anda juga boleh menonton rancangan-rancangan 8TV kegemaran anda menerusi ‘Catch Up’ di www.tonton.com.my atau ikuti kami di laman sosial www.facebook.com/8TVfb , www.twitter.com/8tv , www.youtube.com/8tvaddicts dan instagram @8tv.