The Blue Jeans Concert mempunyai hubung kait yang dan menyatu erat dengan muzik era 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Ketika itu rock n roll yang berakar daripada salah satu rentak blues mula tumbuh dan memacu sebagai kegilaan bagi penggemar muzik seterusnya berkembang mewarnai dan menguasai dunia muzik tenpatan sehingga lahirnya band-band berpaksikan rock sebagai teras.
Buat julung kali penganjuran The Blue Jeans Concert memilih tiga buah band Exist, May dan Blues Gang mewakili semangat zaman dan irama yang mencorakkan mereka selama ini. Tiga band itu mempersembahkan sebuah malam istimewa bagi meraikan semula kembara yang dilalui dari generasi ke generasi, zaman permulaan, kemuncak dan sehinggalah perjuangan berterusan sehingga kini.
The Blue Jeans Concert
Panggung Sari, Istana Budaya
Exist (23 Oktober), May (24 Oktober) dan Blues Gang (25 Oktober) 2015
Berkonsepkan satu malam sebuah band, Exist, May dan Blues Gang digabungkan dalam The Blue Jeans Concert hanya pada nama, namun mereka diberikan penghormatan untuk berdiri sebagai sebuah band tanpa perlu berkongsi pentas dengan band lain untuk sebuah malam persembahan.
Blues Gang antara band terawal yang tidak pernah dilupakan dunia muzik. Lagu-lagu kumpulan legenda blues yang ditubuhkan sekitar 1973 antaranya Apo Nak Dikato, Ibu, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin, Lagu Tiga Kupang, Senandung Anak Rantau, Bukan Senang Jadi Senang dan banyak lagi merupakan antara lagu malar segar yang tidak pernah dilupakan peminat mereka.
Masih dianggotai ahli seperti Ito Mohd selaku vokalis dan pemain harmonica, Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani (gitar kedua/keyboard), Jim Kandasamy (bass/vokal) dan Shaik Karim (drums/vokal), kemunculan Blues Gang pada The Blue Jeans Concert akan mengambil tempat di Istana Budaya pada 25 Oktober nanti.
Kali terakhir Blues Gang muncul dalam sebuah konsert besar adalah menerusi Konsert Raksasa 2 bersama Sweet Charity pada Oktober 2011 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Biarpun tenggelam timbul, Exist merupakan sebuah yang dikira masih relevan dengan muzik pop rock masa kini. Lagu-lagu popular band yang memperkenalkan vokalis pertama mereka Mamat sekitar tahun 1991 yang meledak dengan Oh! Ibu, kemudian disusuli dengan Rahsia Pohon Cemara, Janji Bidadari, Nota Di Lautan Sepi ternyata berbisa. Legasi Exist yang disambung oleh Ezad bermula dengan album keempat pada 1995 dengan lagu-lagu seperti Diammu Gunung Berapi, Mengintai dari Tirai Kamar, Dirantai Digelangi Rindu, Jesnita, Julia sehinggalah Percayakan Siti serta banyak lagi, Exist merupakan sebuah band yang berpaksikan pop rock yang paling Berjaya pada zamannya.
Menampilkan vokalis Ezad dan menghimpunkan ahli band seperti Musa, Ujang, Shah dan Along, Exist juga bakal menemukan, membawa dan menghanyutkan semula memori silam peminat bersama mereka pada 23 Oktober nanti.
Sebagai band pembuka tirai The Blue Jeans Concert, beberapa kejutan termasuk kemunculan pemuzik jemputan dijangka akan menyuntik nilai tambah kepada persembahan satu malam bersama Exist.
Sebelum pesta kenangan silam ditutup dengan gema blues pada 25 Oktober, lagu-lagu romantis daripada Exist akan berganti dengan alunan rock klasik daripada kumpulan May. Dibarisi oleh Mus, Man, Abu dan Yus, kumpulan yang berusia hampir 30 tahun itu layak bergelar rockers sejati. Selain Mus selaku vokalis, May juga pernah dianggotai oleh Yantzen (1992 – 1996) dan Onei (1997 – 2000).
Setanding nama-nama besar seperti Wings dan Search, May akan mewakili generasi rock zaman 1980-an yang masih meneruskan perjuangan sehingga kini, namun jarang diberi kepercayaan diletakkan dalam sebuah konsert setaraf dengan usia dan keunggulan mereka.
Selain lagu-lagu yang menjadi siulan sehingga kini Sendiri, Cintamu Mekar Di Hati, Dari Kaca Mata, Hakikat Perjuangan dan Cintaku Sewangi Kasih, kemunculan May di Panggung Sari, Istana Budaya pada 24 Oktober kelak dijangka akan mengundang nostalgia zaman Battle Of The Band yang pernah mereka sertai sekitar tahun 19987. Bakal diserikan dengan kemunculan pemuzik undangan, persembahan May untuk malam 24 Oktober nanti akan diberi kelainan dari segi susunan muzik.
Diterbitkan oleh Bombbay Worldwide yang menampilkan Zambre Shaari atau Bombay sebagai pengarah konsert, The Blue Jeans Concert menawarkan harga tiket bermula dari RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250. Untuk tempahan, sila layari www.ticket2u.biz
Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi talian: 03-4147 8600 atau 019 2111600.