Jabatan Faktual, Primeworks Studio Sdn Bhd, sekali lagi menganjurkan Kem Remaja Bersamamu bermula 31 Mei hingga 3 Jun 2017. Program kokurikulum holistik ini dianjurkan khas buat 45 orang remaja daripada keluarga yang pernah disiarkan dalam rancangan amal, Bersamamu. Sebuah majlis pelancaran dan berbuka puasa telah diadakan semalam di Dewan Tun Razak, Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kajang setelah menyambut ketibaan kesemua 45 orang remaja Bersamamu.
Kem Remaja Bersamamu Menghayati Ramadhan Penuh Keberkatan, Beramal Dan Menimba Ilmu Duniawi Dan Ukhrawi
Wartawan Bersamamu, Teh Syuhaida Sharip telah mengacarakan majlis pelancaran itu dengan sangat santai dan penuh semangat. Majlis pelancaran itu telah dihadiri oleh Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA), Dato Rubiyah Abdul Rahman serta wakil para penaja Kem Remaja Bersamamu, antaranya ialah Pengasas Faiza Marketing Sdn Bhd, Hajjah Faiza Bawumi Sayed Ahmad, Ketua Pegawai Operasi eRYA by Suria, Suria Resorts Management Sdn Bhd, Puan Nor Dalina bt Khalil, dan Kumpulan Pengarah Jualan dan Pemasaran Sama-sama Hotels, Puan Rohana Ibrahim.
Turut menghadiri majlis pelancaran itu adalah Ketua Penerbitan, Jabatan Faktual Primeworks Studio, Cik Noraini Mat Tahir yang juga merupakan bekas Penerbit Eksekutif Bersamamu 2005.
Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Penasihat Kem Remaja Bersamamu, Cik Mazlin Nordin, “Kem Remaja Bersamamu ini merupakan satu inisiatif untuk membantu anak-anak Bersamamu yang saya anggap seperti anak sendiri selain daripada untuk mengukuhkan ukhuwah kami dan membuktikan kepada mereka ini bahawa mereka tidak bersendirian di bumi ini. Banyak pihak diluar sana yang sebenarnya amat prihatin kepada mereka, yang sayang kepada mereka, dan ingin membantu mereka untuk berdiri dengan penuh keyakinan seperti anak-anak lain.”
“Mereka ini sebenarnya bukannya golongan kurang bernasib baik, malah mereka amat beruntung kerana ramai yang menyayangi mereka dan prihatin terhadap kehidupan mereka. Justeru, kem ini masih wujud dan In Sya Allah akan tetap ada demi memahat keyakinan diri, jati diri, dan keberanian di dalam diri mereka. Tambahan pula, kami amat terharu dan berterima kasih kepada para penaja yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada keluarga-keluarga Bersamamu. Alhamdulillah kerana segala bantuan yang dihulurkan bukanlah untuk kami, tetapi ia adalah rezeki buat mereka (keluarga Bersamamu).” ujarnya lagi
Rancangan Bersamamu ini telah ke udara lebih 12 tahun sebagai rancangan realiti amal nombor satu negara dengan julat rating sebanyak 1.5 juta penonton setiap episod. Menemui para penonton setia TV3, Bersamamu kini disiarkan pada setiap hari Selasa pada pukul 9.30 malam.
Pada tahun ini, berkat daripada sumbangan pihak-pihak yang prihatin ke akaun Maybank Tabung Kemanusiaan MPB-NSTP (5141-0532-3170), Bersamamu sekali lagi menganjurkan Kem Remaja Bersamamu yang ketujuh dan membabitkan remaja-remaja Bersamamu berusia dalam lingkungan 11 hingga 17 tahun. Selain daripada menerapkan objektif untuk menyumbang secara berterusan kepada anak-anak Bersamamu ini, kem ini turut dianjurkan bagi menerapkan nilai sahsiah, rohani, dan jati diri buat anak-anak remaja yang terpilih. Untuk penganjuran kali ini, Kem Remaja Bersamamu membawa sedikit pendekatan berbeza iaitu buat julung kalinya, kem ini berlangsung pada bulan yang penuh keberkatan, Ramadan Al Mubarak.
Selain itu, secara lazimnya, penyertaan kem ini terdiri daripada peserta dari semenanjung Malaysia sahaja. Namun buat pertama kalinya, dua anak Bersamamu dari Negeri Sabah turut terpilih. Memandangkan kem kali ini dianjurkan pada bulan Ramadan, pelbagai aktiviti telah disediakan bertepatan dengan bulan puasa ini, antaranya termasuklah ceramah pemantapan rohani dan kekeluargaan, kem pembinaan keyakinan diri, solat terawih, qiamullail, dan membeli belah barang keperluan Aidilfitri.
Para peserta kem ini dipilih daripada pelbagai latar belakang, ada diantara mereka adalah anak yatim, orang kurang upaya dalam kategori cacat anggota badan dan masalah pendengaran. Manakala, majoriti para peserta terdiri daripada golongan asnaf. Selain itu, peserta dipilih mengikut kriteria lain seperti perubahan keluarga selepas dibantu, peserta cemerlang di sekolah baik dari segi akademik mahupun kokorikulum, mempunyai sifat yang ingin terus bersaing dan berwawasan tinggi.
Sinonim dengan Ramadan Al Mubarak, majlis berbuka puasa tidak pernah dilupakan. Kem ini turut menyediakan sebuah majlis berbuka puasa bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Ismail Sabri dan Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA), Dato Rubiyah Abdul Rahman pada hari esok, Jumaat, 2 Jun 2017. Majlis ini bakal berlangsung pada pukul 6.30 petang, bertempat di Dewan Tun Razak, Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kajang.
Kem Remaja Bersamamu 2017 juga telah mendapat banyak perhatian daripada pihak-pihak prihatin yang ingin turut serta dalam menyumbang kepada anak–anak Bersamamu ini. Selain penaja utama rancangan Bersamamu iaitu Faiza Marketing Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Syarikat Faiza) dan Almas Beauty & Health, Kem Remaja Bersamamu 2017 ini pastinya lebih meriah dengan penyertaan para penaja yang pemurah seperti penaja lokasi selama tiga hari, Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kajang, Islamic Relief Malaysia, Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Royal Chulan Hotels and Resorts, eRYA by Suria, Suria Resorts Management Sdn Bhd, dan D’Ratu Catering.
Selain itu, Sama-Sama Hotels, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, turut bermurah hati dengan menaja penginapan satu malam berserta sahur dan menjadi lokasi penutup buat Kem Remaja Bersamamu ini pada hari Sabtu, 3 Jun 2017.
Peneraju Kem Remaja Bersamamu 2017, terdiri daripada Penerbit Eksekutif merangkap Penasihat Kem Remaja Bersamamu, Cik Mazlin Nordin, Pengarah Projek, Encik Mohd Faizal Murad, Timbalan Pengarah Projek, Siti Nur Fatihah Bt Hamzah dan tenaga produksi terdiri daripada Penolong Penerbit, Norasliza Norashikin Yusoff, Teh Syuhaida Sharip, Nur Almas Mohd Yamin, dan Mohd Zahir Ramli.
Para peminat setia rancangan Bersamamu, berpeluang untuk saksikan Kem Remaja Bersamamu 2017 ini pada hari Selasa, 4 Julai 2017, dan 11 Julai 2017, pada pukul 9.30 malam. Hulurkan Tangan, Ringankan Beban.